fbpx

‘Mula-mula ingatkan arwah adik jatuh biasa sahaja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRIL Ajhar menunjukkan gambar Allahyarham Khairul Nizam ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HSB di Alor Setar.

ALOR SETAR – Juruteknik yang maut setelah terjatuh dari tebing Gunung Machinchang, di Langkawi semalam baru tiga bulan bekerja dengan syarikat operator pelancongan di lokasi itu.

Abang mangsa, Khairil Ajhar Jaafar, 47, berkata, adiknya, Khairul Nizam, 41, sebelum ini bekerja sebagai juruteknik di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) selama 16 tahun.

“Sudah 16 tahun arwah bekerja di lapangan terbang juga sebagai juruteknik dan bekerja di syarikat baharu itu baru tiga bulan. Saya difahamkan arwah berpindah kerja sebab tawaran gaji lebih tinggi di situ.

“Saya terima panggilan daripada mak, Kashah Hashim, 72, pada pukul 2 petang semalam maklumkan arwah jatuh. Mula-mula ingat jatuh biasa sahaja, tetapi bila telefon isterinya, Zunirah Othman, dia beritahu kejadian sebenar.

“Berderau darah. Kami sekeluarga memang bersedih terutama ibu tetapi reda dengan pemergian arwah,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Menurut Khairil Ajhar, kali terakhir mereka sekeluarga berkumpul adalah pada Hari Raya Aidiladha lepas di Alor Setar, malah mereka turut berhubung melalui WhatsApp pada minggu lalu.

Menurutnya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Rafeah, Taman Uda di sini selepas urusan bedah siasat selesai hari ini. Arwah meninggalkan seorang balu dan tiga anak yang berusia 17 hingga 10 tahun.

Akhbar ini semalam melaporkan mayat juruteknik yang terjatuh dari besi penahan platform kaca pada ketinggian 40 meter ditemukan di tebing Gunung Machinchang, pada pukul 5.11 petang.

Khairul Nizam yang bertugas sebagai juruteknik Eagle’s Nest SkyWalk yang letak bersebelahan kereta kabel SkyCab Langkawi dibawa naik oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI