fbpx

MMGlobal ambil alih UGO Travel, kembangkan operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (dua dari kiri) bergambar bersama logo UGO Travel sempena pengambilalihan syarikat.

PETALING JAYA – MMGlobal Active (MMGlobal), kumpulan syarikat milik penuh Bumiputera, mengumumkan pengambilalihan sepenuhnya UGO Travel & Tours Sdn. Bhd. (UGO Travel), syarikat pelancongan tempatan yang berlesen di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Selain menjadi agensi pelancongan berlesen, UGO Travel juga menawarkan khidmat penjualan tiket penerbangan bagi syarikat penerbangan Batik Air Malaysia dan TranNusa dari Indonesia.

Langkah strategik berkenaan, yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mohamad Minhat, melengkapkan portfolio MMGlobal dalam industri penerbangan dan sektor berkaitan.

Mohamad turut menerajui beberapa syarikat lain seperti WAUAVIECO Sdn. Bhd., MAZ Gerbang Sdn. Bhd., PROSKY Services Sdn. Bhd. dan G-Force Academy Sdn. Bhd.

Menurut Mohamad, pengambilalihan itu mengukuhkan lagi perkhidmatan yang ditawarkan oleh MMGlobal, seiring dengan visinya untuk mewujudkan ekosistem menyeluruh dalam sektor penerbangan dan pelancongan.

“UGO Travel bakal memperkukuhkan lagi portfolio perniagaan kami, melengkapkan perkhidmatan MMGlobal dalam penghantaran kargo udara/laut dan membekal tenaga kerja serta perunding penerbangan, MAZ Gerbang dalam penyelenggaraan dan baik pulih pesawat, serta PROSKY Services yang mengendalikan perkhidmatan darat di lapangan terbang seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut tentang kos pengambilalihan.

Mohamad menambah, pengambilalihan UGO Travel membuka peluang kepada MMGlobal untuk menceburi pasaran umrah dengan menawarkan pakej-pakej menarik melalui kerjasama dengan agensi Muasasah di Arab Saudi.

Pada peringkat awal, UGO Travel dijangka menguruskan kira-kira 1,000 jemaah umrah setiap tahun.

“Kami menjamin keberangkatan bakal jemaah pada bila-bila tanpa perlu berdepan masalah berkaitan tiket penerbangan serta menyediakan penginapan yang berhampiran dengan Masjidil Haram atau mengikut selera jemaah,” katanya.

UGO Travel turut menawarkan pelbagai pakej pelancongan ke destinasi popular dan kini bersiap sedia untuk memperluaskan cawangan di seluruh negara selain bekerjasama dengan pempengaruh tempatan dan tokoh agama terkemuka bagi memperkukuhkan jenama. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI