fbpx

Lelaki Singapura dituduh mengaku Rasul, ada Roh Kudus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki warganegara Singapura dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan, di sini, hari ini atas dua pertuduhan mengajar ajaran salah iaitu dirinya sebagai Rasul dan mempunyai ruh kudus. -FOTO- NOR AINNA HAMZAH/KOSMO!

SEREMBAN – Seorang lelaki Singapura dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan, di sini hari ini atas dua pertuduhan mengajar ajaran salah iaitu dirinya sebagai Rasul dan mempunyai Roh Kudus.

Tertuduh, Idris Ami, 60, yang bekerja sebagai pemandu forklift di Singapura bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapanHakim Syarie, Zulfikri Yasoa.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh yang tidak diwakili peguam didapati telah mengajar ajaran salah kepada dua lelaki berusia 42 tahun dan 46 tahun yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu dengan mendakwa bahawa dirinya adalah utusan yakni Rasul bagi zaman ini.

Manakala, bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didapati telah mengajar ajaran salah kepada dua lelaki yang sama yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu dengan mendakwa di dalam dirinya itu ada Roh Kudus.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11 malam antara 6 hingga 8 Oktober tahun lalu di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua Besar di Kuala Pilah.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, pindaan 2019 di mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwa Syarie Ahmad Wafi Abdullah memohon agar tiada jaminan diberikan kepada tertuduh berikutan tertuduh merupakan warganegara luar serta dibimbangi akan pulang ke negara asal dan akan menyukarkan lagi proses pendakwaan.

Hakim kemudiannya menetapkan bon jaminan keseluruhan sebanyak RM 8,000 dengan empat penjamin warganegara Malaysia yang bermastautin di Negeri Sembilan.

Tertuduh juga tidak dibenarkan keluar dari negara ini sehingga terdapat perintah lain dikeluarkan, selain perlu melaporkan diri setiap 1 haribulan kepada ketua penguasa agama.

Kes ditetapkan semula pada 19 November ini bagi perbicaraan.

Dalam pada itu, hakim membebaskan seorang wanita warganegara tempatan berusia 42 tahun yang dipercayai merupakan orang kanan tertuduh dengan bon jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin yang bermastautin di negeri ini.

Sementara itu Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah ketika ditemui berkata, pihaknya bersama polis berjaya menahan dua individu ini di Muadzam Shah, Pahang yang mana mereka dalam perjalanan ke Terengganu bagi menjalankan satu aktiviti.

Menurutnya, penahanan itu susulan dari ajaran sesat baharu yang dikesan di negeri ini iaitu ajaran Cahaya sejak setahun lalu.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI