TEMPOH lebih tiga dekad memikul status penghibur tersohor tanah air bukan satu laluan mudah.
Julukan Raja Pop yang dipegang, sekali gus membuktikan tiada yang mampu untuk menandingi keutuhan vokal Datuk Jamal Abdillah sehingga kini.
Namun, untuk berada dalam posisinya pada usia 65 tahun, banyak yang perlu dilakukan bukan sahaja untuk kekal relevan bahkan menjaga kesihatan diri.
Jika dilihat, hampir setiap tahun pelantun lagu Seroja itu muncul dengan konsert berskala besar. Agenda tersebut belum lagi dicampur dengan undangan membuat persembahan dalam majlis makan malam dan sebagainya.
Seperti tiada cuti rehat tetapi bagi empunya badan, selagi mampu untuk memerah kudrat dan bakat masih diraikan masyarakat, dia akan terus menyanyi.
“Saya bersyukur sebab segala susah payah membina jenama Jamal Abdillah membuahkan hasil pada hari ini.
“Bukan hendak cakap saya sangat popular tetapi syukur bakat masih diterima dan dicari orang ramai. Itu sudah cukup menggembirakan hati seorang penyanyi,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Memiliki kesihatan yang baik juga satu hal sangat disyukurinya, sementelah sudah ramai rakan seperjuangan bergelut pelbagai penyakit sehingga terpaksa menghentikan perjalanan karier seni.
“Alhamdulillah, pada usia lebih enam dekad, Allah kurniakan saya kesihatan dan kemampuan untuk menyanyi dengan baik, malah undangan persembahan juga masih tinggi.
“Ada waktunya, saya juga perlu sedar bahawa badan kita bukan seperti robot. Saya turut diuji dengan sakit dan pelbagai kekurangan.
“Sebagai manusia biasa, ada waktu kesihatan tidak mengizinkan sehingga menjejaskan nyanyian. Bila berada dalam keadaan begitu, saya nyanyi ikut kemampuan, bawa lagu yang mudah,” katanya lagi.
Selain kesihatan, sikap meninggi diri juga antara musuh utama seseorang anak seni. Sikap begitu harus dibuang sejauh mungkin untuk kekal relevan.
“Pada usia sekarang, penampilan perlu sentiasa dijaga dan jangan sombong, sentiasa bergaul untuk dekat dengan masyarakat. Itu sangat penting.
“Tahap nyanyian juga perlu sentiasa diperbaiki. Apabila menjaga semua itu, orang akan bertambah yakin untuk undang ke majlis atau konsert kita,” kongsinya yang turut mengambil makanan tambahan atau suplemen demi kesihatan diri.
Anak klon bapa?
Tutup cerita perihal kesihatan, pemilik nama penuh Jamal Ubaidillah Mohd. Ali sempat diminta pandangan mengenai dakwaan khalayak tentang dua anak lelakinya, Yamani Abdillah dan Zaki Yamani yang dikatakan meniru suaranya.
Bukan sahaja meniru, Yamani dan Zaki juga dikatakan tidak berusaha mencari identiti sendiri sebaliknya menggunakan populariti bapa untuk dikenali ramai.
Tenang menjawab persoalan tersebut, Jamal tiada masalah memikirkan pandangan umum menyamakan suara Yamani dan Zaki dengan dirinya.
“Macam Yamani, kalau menyanyi sebiji Jamal Abdillah. Zaki pula semakin ada persamaan dengan saya.
“Sebenarnya mereka tak boleh nak lari sebab kami bapa dan anak. Kalau tengok Allahyarham Saleem dan anaknya, Syafiq Farhain pun begitu, memang akan ‘bunyi’ sama juga
“Mahu atau tidak, mereka juga pula perlu mencari kreativiti dan inisiatif untuk mengalirkan nyanyian sendiri. Tapi, lari macam mana pun, bapa punya ‘bunyi’ nyanyian pasti ada,” ujarnya.
Mengakui tidak memandang perkara tersebut sebagai sesuatu yang serius, Jamal cukup sedar anak-anak mewarisi bakatnya.
“Tak mengapa orang nak cakap mereka klon saya sebab memang anak-beranak.
“Cuma, mereka perlu fikirlah sampai bila hendak jadi pengikut, pastinya mereka juga ada haluan yang mahu dicapai,” tuturnya lagi.
Cuma kata Jamal, Yamani dan Zaki tidaklah menumpang popularitinya untuk dikenali.
“Saya tidak melihat mereka berdua menumpang populariti saya pun.
“Saya tahu, kalau ada yang rasa bayaran untuk undang Jamal Abdillah terlalu mahal, mereka akan jemput Zaki dan Yamani, itu biasa.
“Tak mengapa, saya okey sahaja dan rezeki mereka sudah tertulis dengan cara begitu. Jalani sahaja dengan baik,” kongsinya.
Konsert amal
Bercerita tentang agenda baharu yang bakal muncul dengan konsert amal Night Of Love And Compassion, Jamal sebenarnya tidak mahu melepaskan peluang menjayakan acara berkennaan walaupun jadualnya padat dengan banyak jemputan persembahan.
“Saya bukan kaut sahaja semua tawaran yang datang, tetapi memilih dari segi mesej, kesesuaian masa dan soal bayaran.
“Namun, saya pastikan sistem bunyinya bagus, begitu juga pentas kerana kalau ada masalah, semua itu boleh jejaskan nama kita sebagai penyanyi,” jelasnya.
Dilayangkan persoalan sama ada dia akan menurunkan harga untuk acara amal, Jamal memberitahu, kebanyakan penganjur yang biasa berurusan sudah tahu mengenai ‘harganya’.
“Konsert dan persembahan amal adalah dua acara berbeza. Majlis makan malam amal ini membabitkan jualan meja, malah suasana juga lebih santai.
“Saya tak kaut semua undangan, kena tengok objektif juga,” kata Jamal.
Bakal sepentas dengan Datuk Hattan, Jamal akan mendendangkan lebih lapan buah lagu popularnya pada acara anjuran Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tengku Mahmud Besut Terengganu (TMESA) berkenaan.
“Pada usia emas ini, stamina paling penting dan saya juga buat senaman hampir setiap hari.
“Saya akan menyampaikan rangkaian lagu popular seperti Azura dan Akulah Penghiburmu. Ada juga lagu duet dengan Hattan seperti Kepadamu Kekasih dan Terharu,” tuturnya .