fbpx

Khutbah Jumaat Selangor larang umat Islam berpegang ajaran GISBH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Khutbah Jumaat di Selangor hari ini menyeru umat Islam supaya berhati-hati dan dilarang berpegang serta beramal dengan fahaman dan ajaran GISBH Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).

Mimbar berkata, GISBH adalah sama seperti Al-Arqam dahulu yang telah diharamkan segala fahaman dan ajarannya oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Menurut Mimbar, pengaruh bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad masih kuat dalam kumpulan tersebut walau selepas pengharaman Al-Arqam pada tahun 1994.

“Adakah (GISBH) sama dengan Al-Arqam dahulu? Jawapannya adalah sama jika fahaman dan ajarannya masih sama antara Al-Arqam dan GISBH yang diamalkan oleh ahli-ahli GISBH sekarang.

“Ashaari Muhammad yang meninggal dunia pada tahun 2010 terus dihormati oleh pengikutnya dan pengaruhnya jelas dalam struktur perniagaan dan sosial Global Ikhwan.

“Kes Global Ikhwan mencerminkan bagaimana sebuah organisasi yang pernah diharamkan kerana ajaran sesat boleh meneruskan pengaruhnya dalam masyarakat melalui perniagaan dan aktiviti sosial.

“Walaupun ia tidak lagi secara terang-terangan menyebarkan ajaran yang sama, pengaruh dan nilai-nilai diasaskan oleh Al-Arqam masih dilihat dalam operasi dan struktur organisasi ini,” menurut teks Khutbah Jumaat bertajuk Betulkan Akidah Pengikut GISBH.

Mimbar berkata, fahaman dan ajaran GISBH menyimpang daripada akidah Islam seperti kepercayaan kepada kebangkitan semula pemimpin Al-Arqam yang telah meninggal dunia seperti As-Suhaimi mati pada zahir sahaja sebaliknya ia ghaib dan lahir semula sebagai Imam Mahdi.

Kata Mimbar, penyimpangan kedua adalah ketaksuban dan pemujaan kepada kepimpinan bahawa Ashaari memiliki kuasa kerohanian yang luar biasa.

Ujar Mimbar, penyimpangan ketiga adalah wujud unsur-unsur khurafat dan syirik dari ajaran asal Al-Arqam seperti minda Abuya adalah wahyu Tuhan, Allah akan beritahu kepada Abuya tentang sesuatu penyakit dalam kalangan pengikutnya serta dipercayai memiliki ramalan tentang masa depan.

“Walaupun selepas kumpulan ini diharamkan dan berubah menjadi GISBH, elemen-elemen ini masih dilihat secara tersirat dalam kepercayaan dan amalan dalam kalangan ahlinya,” jelas Mimbar.

Tambah Mimbar, penyimpangan keempat adalah kepercayaan dan amalan poligami yang tidak mengikut hukum syarak dan undang-undang yang berkuatkuasa.

“Mereka mengadakan seminar dan kempen untuk memperluaskan amalan poligami dalam kalangan ahli-ahli mereka.

“Walaupun poligami dibenarkan dalam Islam, pendekatan kumpulan ini terhadap amalan tersebut sering dikritik kerana ia dilihat sebagai mengabaikan hak dan kesejahteraan wanita,” kata Mimbar.

Sehubungan itu, Mimbar berkata, umat Islam hendaklah mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah daripada segi akidah, syariah dan akhlak

“Umat Islam hendaklah benar-benar mengenali Ahli Sunnah Wal Jamaah agar tidak keliru terhadap golongan-golongan yang memperaku bahawa mereka adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah, namun hakikatnya mereka adalah golongan yang terpesong dan menyimpang.

“Umat Islam hendaklah lebih berhati-hati dengan bersikap tabayyun dan menyelidik sebelum mengikut membuta tuli di sebalik perkataan agama dan amal atau seumpamanya dengan merujuk kepada pihak berkuasa agama negeri,” kata Mimbar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI