fbpx

Khazanah, KWSP tentukan hala tuju MAHB, GIP minoriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAHB memainkan peranan penting sebagai pintu masuk untuk perdagangan dan pelancongan ke Malaysia. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – ⁠Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan terus memainkan peranan penting dalam operasi dan keputusan strategik Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kerana mereka masih memegang pegangan majoriti.

Global Infrastructure Partners (GIP) dijangka tidak mencampuri operasi harian MAHB selepas memperoleh 30 peratus kepentingan di dalamnya bersama-sama Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA).

Ini kerana Khazanah dan KWSP adalah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan itu masih memegang pegangan majoriti 70 peratus dalam konsortium Gateway Development Alliance (GDA) yang mengambil alih MAHB.

Menurut Penganalisis Ekonomi, Dr. Mohamad Khair Afham, Khazanah dan KWSP akan terus memainkan peranan penting dalam operasi dan keputusan strategik MAHB termasuk pelantikan pengerusi dan pasukan pengurusan tertinggi.

Sebagai entiti pelaburan utama, GIP dan ADIA  bersama Khazanah dan KWSP- akan menyediakan modal dan kepakaran strategik yang diperlukan untuk memodenkan infrastruktur dan meningkatkan kualiti perkhidmatan di MAHB.

Gambar hiasan

“Pelabur asing seperti GIP dan ADIA dijangka menyumbang kepada penambahbaikan operasi lapangan terbang melalui kepakaran antarabangsa mereka, terutamanya dalam pengurusan lapangan terbang bertaraf dunia,” katanya di sini hari ini.

⁠Mohamad Khair menjelaskan, pengambilalihan MAHB juga bertujuan untuk memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia dalam pasaran penerbangan Asia Tenggara yang berkembang pesat.

⁠“MAHB memainkan peranan penting sebagai pintu masuk untuk perdagangan dan pelancongan ke Malaysia.

“Pengambilalihan itu juga memberi peluang untuk menyuntik modal yang besar ke dalam MAHB, yang diperlukan untuk memodenkan lapangan terbang seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), meningkatkan kualiti perkhidmatan dan meningkatkan kapasiti penumpang.

“Khazanah dan KWSP percaya langkah ini akan membantu Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai hab penerbangan serantau, sekali gus merangsang sektor pelancongan dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya.

Daripada perspektif ekonomi pula, tambahnya, pengambilalihan itu membawa pelbagai manfaat kepada negara.

gambar hiasan

“Pertama, ia meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia, khususnya dalam sektor penerbangan.

“Kehadiran pelabur antarabangsa seperti GIP dan ADIA menunjukkan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi menarik untuk pelaburan infrastruktur utama.

“Kedua, pengambilalihan ini mengurangkan pergantungan MAHB kepada kerajaan untuk modal, kerana pelabur swasta bersedia menyediakan pembiayaan yang diperlukan untuk pembaharuan dan peningkatan operasi,” katanya.

⁠Mohamad Khair berkata dalam jangka panjang, peningkatan dalam kualiti lapangan terbang akan merangsang pelancongan, mewujudkan laluan udara baharu, dan memberi kesan positif kepada keluaran dalam negara kasar melalui peningkatan pelancong dan aktiviti perniagaan antarabangsa.

⁠Dua hari lalu, BlackRock Inc mengumumkan penyiapan pengambilalihan GIP.

Dalam satu kenyataan, BlackRock berkata penggabungan itu mewujudkan peneraju industri dalam infrastruktur yang merangkumi ekuiti, hutang dan penyelesaian, sekali gus menyediakan pelbagai kepakaran dan pendedahan kepada sektor infrastruktur dalam kedua-dua pasaran maju dan baharu muncul.

Sebelum ini, timbul isu berhubung penjualan kepentingan dalam MAHB kepada BlackRock.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, GIP dipilih sebagai rakan kongsi selepas syarat ketat dipenuhi, termasuk bersetuju untuk mengambil hanya kepentingan minoriti dan bersetuju Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif adalah rakyat Malaysia.

Pada bulan Jun, GIP  menegaskan bahawa, BlackRock tidak pernah terlibat dalam sebarang urus niaga yang berkaitan dengan penstrukturan semula kepentingan dalam MAHB melalui konsortium GDA dan GIP akan mengekalkan pasukan pengurusan sedia ada selepas penyiapan pemerolehan oleh Blackrock.

Konsortium GDA diterajui oleh entiti Malaysia, Khazanah dan KWSP sebagai 70 peratus pemegang saham dengan GIP dan ADIA memegang pegangan minoriti sebanyak 30 peratus.

⁠Pada 25 Mei, GDA mengumumkan tawaran bersyarat sukarela untuk membeli semua saham dalam MAHB yang belum dimiliki oleh konsortium pada harga tawaran RM 11 sesaham, berjumlah RM18.4 bilion.

MIDF Research menyatakan harga tawaran RM11 sesaham mewakili anggaran premium 18 peratus berbanding anggaran nilai saksamanya sebanyak RM9.32 untuk saham MAHB.

UOB Kay Hian (UOBKH) Research juga mencadangkan agar pelabur menerima tawaran penswastaan, dengan peluang untuk mengewangkan saham mereka pada penilaian premium.

Begitu juga, Kenanga Research, dengan menandakan harga sasaran RM11 sesaham, mengesyorkan pelabur untuk “menerima tawaran itu.” -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI