fbpx

Kesuma, HRD Corp himpun lebih 200 delegasi negara ASEAN di ASF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Steven Sim ketika berucap di ASF hari ini.

KUALA LUMPUR – Lebih 200 delegasi dari 16 negara berhimpun di Forum Kemahiran ASEAN (ASF) yang julung kali dianjurkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), hari ini.

ASF menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dari seluruh ASEAN, termasuk wakil-wakil daripada kerajaan, persekutuan majikan, kesatuan pekerja, dan rakan kongsi antarabangsa, untuk memudahkan perbincangan penting mengenai cabaran kritikal dan peluang dalam pembangunan modal insan di rantau ini.

Lebih 200 delegasi dari 16 negara hadir, termasuk wakil-wakil dari Filipina, Thailand, Kemboja, Brunei, Indonesia, Vietnam, Singapura, India dan Austria.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, sejak pertengahan abad ke-20, Malaysia telah menerima pelaburan daripada industri-industri berteknologi tinggi terkemuka dari seluruh dunia bermula dengan ‘Lapan Samurai di Pulau Pinang’ – Intel Corporation, Hewlett-Packard (kini Keysight Technologies dan Agilent Technologies), Robert Bosch, AMD, Litronix (kini ams OSRAM), Hitachi (kini
Renesas), Clarion dan National Semiconductor.

“Hari ini, Malaysia menjadi tuan rumah kepada pemain-pemain teknologi global seperti Nvidia, Micron, Infineon, Geely, Rongsheng, Microsoft, Google, Bytedance, AWS dan banyak lagi dengan pelaburan melebihi RM30 bilion.

“Oleh itu, adalah penting bagi Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN kita untuk menarik, membangunkan dan mengekalkan aliran bakat yang berkemahiran tinggi, dinamik dan pelbagai,” ucapnya ketika ASF hari ini.

Mengulas lanjut mengenai ASF, katanya, forum ini memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai penyelarasan strategi pembangunan kemahiran di seluruh rantau ini.

“Perbincangan ini sangat penting ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dan mencadangkan Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 yang dijangka bermula pada Januari tahun depan.

“AYOS 2025 yang akan diterajui oleh Kesuma melalui HRD Corp, bertujuan untuk memacu pelbagai program dan aktiviti pembangunan kemahiran di seluruh rantau ini sepanjang tahun tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood berkata, dengan populasi lebih 690 juta dan jumlah tenaga kerja sebanyak 340 juta, ASEAN memegang kedudukan strategik dalam pasaran buruh global.

“Selain itu, ASEAN juga mempunyai tenaga kerja ASEAN yang berpotensi untuk memacu pertumbuhan ekonomi serantau dan global, dengan syarat pembangunan kemahiran terus seiring dengan keperluan industri yang berkembang.

“Adalah penting bagi negara-negara anggota ASEAN untuk menangani cabaran utama yang menjejaskan pasaran buruh rantau ini, termasuk memformalkan sektor informal, pengangguran belia, ketidaksamaan jantina, penghijrahan tenaga kerja, perlindungan sosial, dan pembangunan kemahiran,” jelasnya.

Semasa forum tersebut, Steven Sim turut mengumumkan penambahbaikan penting kepada Matrik Kos Yang Dibenarkan (ACM) yang bertujuan menetapkan asas bagi usaha pembangunan kemahiran Malaysia sendiri.

Katanya, ia merupakan panduan untuk majikan berdaftar HRD Corp dan penyedia latihan mengenai kos yang boleh dituntut, tuntutan maksimum, dan kelayakan tuntutan bagi pelbagai jenis program latihan melalui levi pembangunan sumber manusia. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI