JOHOR BAHRU – Kertas cadangan melibatkan kebajikan anak asuhan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), merangkumi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang ditangguhkan dahulu sebelum dibentangkan ke Kabinet.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini susulan terdapat penambahan maklumat dan peningkatan jumlah anak asuhan GISBH yang diselamatkan dalam Ops Global untuk diteliti.
Beliau berkata, pihaknya perlu membuat perincian terhadap setiap individu yang diselamatkan serta apakah pelan disediakan kepada mereka.
Katanya, beliau berharap proses-proses ini dapatkan dilicinkan sebelum pelan perancangan yang disediakan sebelum ini dapat dibentang ke Kabinet pada minggu depan.
“Sepatutnya bentang pada minggu lepas tetapi tidak sangka kita tidak dapat mempercepatkan proses itu, jadi ia belum dapat dilengkapkan.
“Sekarang ini masih ramai lagi yang perlu melalui proses-proses tertentu termasuk melibatkan proses pengenalan identiti melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara, ada yang sudah berusia 20 tahun tapi mendakwa masih 16 tahun.
“Jadi, ia sedikit sebanyak menjadikan proses sementara terganggu, kita perlu sediakan pelan yang terangkum untuk membantu mereka ini,” katanya ketika ditemui selepas program Persidangan Keterangkuman Pendidikan Awal Kanak-kanak di sini hari ini.
Sebelum ini, Nancy dilaporkan berkata, pihaknya akan membawa kertas cadangan ke Kabinet minggu ini untuk dibincangkan bersama beberapa kementerian lain berhubung perancangan terhadap 572 kanak-kanak dan remaja di bawah asuhan GISBH. – KOSMO! ONLINE