LANGKAWI – Panorama Langkawi Sdn. Bhd. yang mengendalikan kereta kabel SkyCab Langkawi menafikan juruteknik yang maut ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di Eagle’s Nest SkyWalk terjatuh dari kereta kabel.
Jurucakap Panorama Langkawi memaklumkan, mangsa yang bekerja dengan Eagle’s Nest SkyWalk yang terletak di Gunung Machinchang adalah di bawah pengurusan dan pengoperasian Langkawi SkyWalk Sdn. Bhd.
“Mangsa difahamkan berada di kawasan penyelenggaraan di bawah lantai kaca di lereng gunung itu dan bukannya dalam kawasan pengunjung atau kawasan awam.
“SkyCab Langkawi beroperasi seperti biasa pada hari kejadian dan tiada kerja-kerja penyelenggaraan dijadualkan pada waktu tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pihaknya juga menegaskan bahawa setiap kerja-kerja penyelenggaraan di Langkawi SkyCab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Jelasnya, sekiranya kerja-kerja dilakukan di tempat tinggi, kakitangan perlu mendapat latihan dan mempunyai sijil bekerja di tempat tinggi beserta dengan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan juruteknik Eagle’s Nest SkyWalk yang terjatuh semasa melakukan kerja-kerja penyelenggaraan ditemukan meninggal dunia di lereng Gunung Machinchang, di sini.
Mangsa, Khairul Nizam Jaafar, 41, yang baru tiga bulan bertugas sebagai juruteknik di lokasi pelancongan itu ditemukan pada pukul 5.11 petang setelah mangsa terjatuh dari besi penahan lantai kaca berketinggian 40 meter. – KOSMO! ONLINE