GEORGE TOWN – Pasangan kembar Ainul Kamilah Zolkifly dan adiknya Ainul Mardhiah mengambil insiatif untuk berniaga pelbagai pin tudung hasil kreativiti sendiri di aplikasi TikTok bagi mencari wang sebagai persediaan untuk menyambung pengajian di menara gading.
Usaha kedua-dua beradik berusia 19 tahun itu mengumpul wang bagi membantu ibu mereka Marina Abdullah, 55, yang merupakan ibu tunggal berbaloi apabila mereka mendapat wang tambahan serta berjaya ditawarkan melanjutkan pelajaran dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Sains Malaysia (USM).
Tambah istimewa Ainul Kamilah dan Ainul Mardhiah yang berasal dari Sungai Petani, Kedah turut dibantu oleh pengurusan USM yang bertindak menjemput kedua-dua beradik itu dengan menggunakan kenderaan universiti untuk mendaftar hari ini kerana ibu mereka tidak dapat memandu kereta dalam jarak jauh.
Ainul Kamilah berkata, ibunya bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah agensi kerajaan dan perbelanjaan untuk menampung dia dan adiknya ke universiti agak besar.
“Ibu bapa kami bercerai sejak usia kami tujuh tahun, jadi untuk membantu meringankan beban ibu kami mengambil peluang untuk berniaga di TikTok selepas tamat pengajian di Matrikulasi Pahang.
“Dalam tempoh dua bulan berniaga kami telah berniaga menjual lebih 1,000 pin tudung yang kami hasilkan sendiri dan wang berkenaan dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan untuk pengajian kami,” katanya ketika ditemui di Dewan Utama Desasiswa USM, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi pelajar ljazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Kemanusiaan yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) serta penerima program Siswa Sulung, Siti Nur Aishah Abdul Rani, 20, berkata, dia tidak akan menjadikan kecatatan matanya sebagai penghalang untuknya bergelar pendidik nanti.
“Mata saya buta di sebelah kiri sejak berusia lima tahun kerana terkena mercun bola. Pada waktu itu saya melalui kawasan di mana ada kanak-kanak yang saya kenali sedang bermain mercun bola dan mercun itu meletup lalu terkena mata saya.
“Saya tidak pernah memarahi sesiapa walaupun tragedi ini menyebabkan saya buta kekal, saya teruskan kehidupan dan mahu berjaya menjadi pendidik satu hari nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE