KUALA KRAI – Seorang suri rumah maut selepas kereta dipandu suaminya terbabas sebelum terbalik selepas mengelak bangkai lembu yang berada di tengah jalan akibat dilanggar oleh kenderaan lain di Kilometer 57, Jalan Kota Bharu-Gua Musang di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.57 pagi itu, mangsa, Norma Mat, 55, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di dalam kereta jenis Perodua Bezza.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bersama suami berusia 61 tahun dan anak perempuan mereka menaiki kereta itu dari Ketereh ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.
Menurutnya, pasangan suami isteri itu sedang dalam perjalanan untuk menghantar anak mereka yang berusia 24 tahun untuk kembali ke kampusnya di UIAM.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta tersebut dipercayai mengelak bangkai seekor lembu yang sebelum itu dirempuh sebuah kenderaan lain.
“Keadaan itu menyebabkan kereta Perodua Bezza dinaiki mereka terbabas ke bahu jalan di laluan bertentangan sebelum terbalik di dalam longkang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, Norma yang berada di tempat duduk penumpang depan tersepit di dalam kereta dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, kemalangan itu turut mengakibatkan suami mangsa sakit di dada manakala anaknya cedera pada bahagian kaki dan mereka berdua dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini.
“Mayat wanita itu turut dihantar ke HSIP untuk proses bedah siasat.
“Siasatan lanjut mendapati, nahas berpunca daripada pemandu yang gagal mengawal kereta tersebut semasa cuba mengelak bangkai lembu yang berada di tengah jalan,” ujarnya.
Mazlan berkata, sebanyak lapan lokasi kemalangan maut dikesan di Kuala Krai termasuk kawasan yang melibatkan nahas tiga beranak itu.
Menurutnya, papan tanda amaran telah diletakkan di kawasan-kawasan tersebut dan pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan atau had laju yang ditetapkan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE