PETALING JAYA – Seorang warga emas bukan sahaja hidup dalam keadaan serba kekurangan, bahkan dua daripada empat anaknya didakwa tidak menziarahinya selepas mereka mendirikan rumah tangga.
Kisah menyentuh hati itu dikongsikan oleh aktivis, Abbe Hae menerusi hantaran di Facebook sekali gus menyentuh hati pengguna media sosial.
Abbe Hae berkata, dia berkunjung ke rumah wanita itu bersama beberapa kru sebuah program televisyen baru-baru ini.
“Mak begitu gembira melihat kedatangan kami apatah lagi nampak apa yang kami bawa seperti dua tilam dan bekalan dapur. Dah lama mak tidur malam hanya beralaskan tikar dan sebiji bantal yang sangat usang.
“Alhamdulillah mak dan seorang anak lelakinya yang juga orang kurang upaya (OKU) sudah dapat tidur dengan selesa beralaskan tilam, bantal dan selimut baharu. Mak tidak lagi kesejukan tidur di waktu malam,” katanya.
Menurut Abbe Hae, warga emas itu mempunyai empat anak dengan salah seorang daripada mereka adalah OKU dan tinggal bersamanya.
“Seorang (anak) lagi bekerja dan tinggal di Kuala Krai, adakalanya balik untuk menziarahi ibunya.
“Mak mengalirkan air mata bila Abbe tanya di mana dua lagi anaknya. Dua lagi anaknya yang Abbe maksudkan ini masih hidup dan telah berumah tangga,” katanya.
Jelasnya, diharapkan kisah wanita tersebut dibaca oleh dua lagi anaknya yang tidak pulang menjenguk ibu mereka setelah berumah tangga.
“Mereka pasti masih ingat dan kenal rumah serta laluan tempat mereka membesar. Buat dua lagi anak mak yang dimaksudkan ini pulanglah menziarahi ibumu sebelum dia memejamkan mata menghadap Ilahi.
”Luahan dan linangan air mata ibumu membuatkan kami semua menahan sebak,” ujarnya.
Abbe Hae memaklumkan pihaknya membantu warga emas itu membuat permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi meringankan beban bersama anak OKU. – KOSMO! ONLINE