PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan mengambil ‘jalan pintas’ untuk mendapatkan pemain warisan sekiranya kelab tempatan mampu melahirkan lebih ramai bintang muda seperti Arif Aiman Hanapi.
Bagaimanapun, pendekatan badan induk itu mencari pemain warisan tidak bermaksud untuk menganaktirikan bakat tempatan, sebaliknya lebih kepada menetapkan tanda aras yang perlu dicapai oleh bakat ‘Made in Malaysia’.
“Untuk proses jangka panjangnya kita perlu kuatkan program pembangunan supaya apabila kita berada satu peringkat atau satu tahap yang baik, biar pemain-pemain ini tahu (jika) dia nak menjadi pemain negara dia mesti capai tahap ini.
“Kalau tidak, mereka tidak nampak apa target yang mereka perlu capai. Jadi macam Arif Aiman, untuk jadi pemain negara dia sudah menunjukkan tahap dia sama dengan pemain luar negara.
“Kalau ada 11 pemain macam Arif Aiman tentulah kita tidak perlukan pemain luar negara,” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusof Mahadi.
Arif Aiman mencuri perhatian apabila muncul penjaring kedua terbanyak Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dengan tiga gol dan paling membanggakan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mendahului beberapa nama bintang dunia seperti dua tonggak Al Nassr, Cristiano Ronaldo dan Sadio Mane.
Sebelum ini, FAM mengesahkan hasrat untuk mendapatkan khidmat kapten Go Ahead Eagles, Mats Deijl tidak kesampaian selepas dia tidak melepasi syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Sebab (pasukan kebangsaan) selalu kalah, orang pun tidak minat nak mewakili negara. Tetapi kita lihat akhir-akhir ini banyak pemain nak mewakili negara kerana kita berada di satu tahap yang lebih dan mereka sudah mampu bersaing.
“Sebenarnya kita perlukan pemain ini (warisan) untuk jadi pemangkin dan tentu sekali jangka panjangnya kita juga perlu (pembangunan) untuk mengelakkan orang kata satu pasukan kita diwakili orang lain, jadi pembangunan pun kena berjalan seiring,” katanya.