PETALING JAYA – Grab Malaysia meraikan kejayaan kontinjen Olimpik dan Paralimpik Malaysia menerusi pemberian penghargaan berbentuk GrabFood percuma selama setahun dan GrabRewards serta baucar GrabFood.
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, individu-individu tersebut telah mengukir nama mereka dalam sejarah negara dengan pencapaian gemilang, sekali gus menginspirasikan jutaan rakyat Malaysia.
“Sebagai tanda solidariti yang tulus kepada atlet-atlet ini, sebuah cek simbolik telah diserahkan kepada pemenang pingat bagi menghargai usaha keras dan kejayaan mereka.
“Para pemenang pingat dianugerahkan GrabFood percuma selama setahun. Selain itu, pemenang pingat emas, perak, dan gangsa masing-masing akan menerima satu juta, 500,000 dan 250,000 GrabRewards.
“Kesemua 110 jurulatih dan pegawai juga menerima baucar GrabFood bernilai RM100,” katanya hari ini.
Selain meraikan kemenangan para atlet, majlis tersebut turut dihadiri Rakan Orang Kurang Upaya (OKU) Grab untuk beramah mesra dengan mereka selain memberi peluang kepada Rakan Grab berinteraksi dengan atlet-atlet negara, terutamanya para atlet paralimpik.
Dalam pada itu, Adelene berkata, pihaknya berbesar hati untuk memberikan penghargaan kepada atlet Malaysia yang telah mewakili negara dengan itupenuh kebanggaan di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris.
“Prestasi luar biasa mereka di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris bukan sahaja telah menyalakan semangat inspirasi dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi juga telah menyentuh hati Rakan OKU kami.
“Kisah ketabahan dan kegigihan mereka telah menjadi sumber kekuatan dan motivasi bagi Rakan OKU kami. Kami berasa sangat bangga untuk menyokong kejayaan mereka,” ujarnya.
Rakan pemandu Grab, Abdul Halim Hapiz berkata, acara tersebut merupakan satu pengalaman istimewa, yang mana peluang bertemu dan mendengar kisah perjuangan atlet tersebut satu pengalaman paling berharga kepadanya.
“Kegigihan mereka mengingatkan kita bahawa walau apa pun halangan yang ada, kita pasti boleh menghadapinya dan membanggakan negara kita,” katanya.
Grab Malaysia kekal komited untuk menyokong komuniti OKU, dengan lebih 3,100 OKU di seluruh Asia Tenggara menjana pendapatan melalui platform Grab. – KOSMO! ONLINE