fbpx

[VIDEO] Penjaga rumah amal dituduh aniaya, rotan budak 6 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Syahid (baju biru) ketika dibawa anggota polis ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

SELAYANG – Seorang penjaga rumah amal yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menganiaya dengan merotan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.

Bagaimanapun tertuduh Mohd. Syahid Hanapiah, 35, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan
Hakim Lailatul Zuraida Harron@Harun.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Syahid didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun telah menganiaya kanak-kanak itu dengan cara merotannya yang mungkin menyebabkan mengalami kecederaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang di sini antara Februari hingga September lalu (2024).

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Nurilya Ellyna Nor Azmal tidak mencadangkan ikat jamin terhadap tertuduh.

“Namun sekiranya mahkamah menawarkan jaminan pihak pendakwaan mencadangkan RM20,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa, melapor diri di balai polis berdekatan selain tertuduh boleh dihubungi pihak berkuasa pada bila-bila masa,” kata Nurilya Ellyna.

Bagaimanapun Mohd. Syahid yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan mempunyai masalah kewangan, masalah keluarga dan masalah kerja.

Selepas mendengar makluman dan rayuan kedua-dua belah pihak, Hakim Lailatul Zuraida kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat-syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 November ini bagi sebutan semula kes selain tertuduh perlu melantik peguam.

Terdahulu, dalam Op Global yang dilancarkan awal bulan lepas polis telah menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Hasil serbuan, seramai 572 mangsa berjaya diselamatkan selain membawa kepada penahanan 359 pengikut GISBH termasuk pengurusan tertinggi syarikat tersebut.

Bulan lalu di Mahkamah Sesyen Klang seorang lelaki yang juga guru agama yang tular merotan beberapa kanak-kanak di rumah GISBH dihukum penjara 10 tahun.

Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Barur Rahim Hisam, 23, selepas tertuduh yang juga warden itu mengaku bersalah atas keempat-empat pertuduhan yang didakwa ke atasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI