fbpx

‘Dah kahwin, saya taubat tak nak jadi penyondol lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelakon jelita Julia Farhana mengakui dia sudah taubat dan insaf menjadi ‘penyondol’ dalam drama. – Ilham Zakaria.

KUALA LUMPUR – Pelakon jelita Julia Farhana mengakui dia sudah taubat dan insaf menjadi ‘penyondol’ dalam drama.

Menurut Julia atau nama lengkapnya Julia Farhana Marin, 30, kini dia enggan lagi membawa watak sebagai penyondol dalam mana-mana naskhah kerana sudah berkali-kali melakonkan watak yang dibenci ramai itu.

“Cukuplah. Saya sudah pun berkahwin. Saya dah taubat, dah insaf. Tak mahu jadi ‘penyondol’ lagi dalam drama.

“Sudah bertahun-tahun saya jadi penyondol dalam drama. Dulu dalam setahun ada empat ke lima drama saya lakonkan watak penyondol,” katanya ketika ditemu pada pelancaran koleksi tudung terbaru Rizman Ruzaini, di sini, semalam.

Ditanya sama ada masih menerima tawaran watak penyondol selepas berhijab, Julia berkata, dia masih banyak tawaran untuknya jadi penyondol sehingga kini.

“Saya rasa saya perlu hentikan situasi ini supaya saya dapat berkembang dalam lakonan. Bukanlah bermakna saya nak menolak rezeki.

“Pada awal karier sebagai pelakon dulu memang saya sasar untuk bawa watak antagonis. Alhamdulillah watak antagonis banyak membantu memperkenalkan nama saya dalam dunia lakonan.

“Tetapi kini tiba masanya untuk saya lakonkan lebih banyak watak protagonis. Alhamdulillah watak saya sebagai protagonis dalam filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang diterima ramai. Itu petanda yang sangat baik,” ujarnya.

Tambahnya lagi, dia kini mula berjinak-jinak dalam bidang penerbitan dan bercadang untuk berlakon dalam naskah yang diterbitkan sendiri agar lebih mudah untuk dia melakonkan watak yang diidamkan.

Dalam perkembangan lain, Julia bakal menjalani latihan amali di sebuah hospital tidak lama lagi dalam bidang psikologi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI