fbpx

Anwar terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah NUST Pakistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah NUST Pakistan.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah daripada Universiti Sains dan Teknologi Kebangsaan (NUST) Pakistan.

Menurut Anwar, penganugerahan itu sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang pendidikan, intelektualisme Islam dan dasar-dasar dalam memperkukuh hubungan antara dunia Islam.

“Sewaktu syarahan umum, saya tekankan keperluan untuk Malaysia dan Pakistan bekerjasama dalam memerangi ekstremisme radikal dan keganasan melalui perkongsian risikan dan inisiatif secara bersama.

“Saya juga menekankan kepentingan memperkasakan belia dan wanita dan menekankan hubungan yang berakar umbi antara kedua-dua negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial malam tadi.

Dalam hantaran berasingan, Anwar memaklumkan, beliau yang kini dalam Lawatan Negara ke Pakistan diberi sambutan rasmi oleh rakan sejawat, Shehbaz Sharif di Kediaman Perdana Menteri Pakistan pagi semalam.

Kata beliau, mereka seterusnya mengalih tumpuan ke mesyuarat dua hala dan majlis menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) untuk kepentingan bersama.

“Usai, kami menyaksikan pelancaran karya terjemahan oleh penyair terkemuka Pakistan Allama Muhammad Iqbal, yang diterjemahkan daripada bahasa Parsi, Urdu dan Inggeris ke bahasa Melayu.

“Saya maklumkan hadirin bahawa pertemuan penuh bermakna hari ini membincangkan pelbagai topik dan isu demi kepentingan bersama termasuk terkait komuniti Islam.

“Kami juga senada untuk terus komited mempertingkatkan kerjasama dalam beberapa bidang dengan mengambil kira sejarah persahabatan sejak 67 tahun dahulu,” katanya.

Tambah beliau, antara yang disentuh, dibincangkan dan dipersetujui secara bersama adalah kesepakatan untuk meneruskan hubungan baik dengan Amerika Syarikat, menekankan kepentingan hubungan dengan negara jiran di ASEAN dan memperkukuhkan hubungan dengan China.

Kata beliau, pertemuan itu juga digunakan untuk mengecam tindakan genosid Israel di Gaza dan Lubnan sambil menyatakan bahawa pencerobohan tersebut mengabaikan serta melanggar peraturan antarabangsa dan hak asasi rakyat Palestin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI