fbpx

‘Anjak ke umur 33, kalau tak tercapai juga, anjak ke 36’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAIYAN TRISHA

KUALA LUMPUR – Pernah menetapkan usia 25 tahun untuk mendirikan rumah tangga, impian pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha untuk berkahwin pada usia muda nampaknya sudah tinggal harapan apabila tetap belum bertemu jodoh ketika usianya kini sudah menginjak ke angka 31 tahun.

Enggan tangkap muat, pemilik nama sebenar Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, berkata, dia bukan cerewet namun calon suaminya nanti perlu mempunyai latar agama yang kukuh.

“Sebenarnya dahulu saya harap dapat mendirikan rumah tangga pada usia 25 tahun tapi nampaknya sudah terlajak ke umur 30 tahun.

“Tidak mengapa, tidak perlu terburu-buru dalam soal jodoh, saya pun okey sahaja kahwin pada umur mana-mana. Kalau bukan 25 tahun kita anjak kepada 33 tahun. Kalau tak tercapai, anjak lagi ke 36.

“Tiada kriteria tertentu pun, cuma kalau boleh saya nak lelaki yang kuat menjaga hubungannya dengan Allah,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ditanya soal kekasih, dia mengakui sudah lebih setahun hatinya kosong selepas beberapa hubungan sebelum ini tidak ‘menjadi’.

Begitupun, Daiyan yang tidak serik bercinta inginkan lelaki yang serius dalam hubungan selain komited untuk membawa hubungan ke fasa berumah tangga.

Jelas Daiyan, pada tahap ini dia sudah tiada masa untuk bermain-main dalam percintaan apatah lagi menjalinkan hubungan tanpa sebarang arah tujuan.

“Saya tiada had umur untuk kahwin, tapi mungkin ada had umur untuk memiliki anak sebab itu melibatkan biologi dan kesihatan tapi buat masa ini saya tak terfikir lagi fasal zuriat.

“Kalau saya jumpa dengan seorang yang serius, saya terbuka dan sedia untuk berkahwin. Saya dah malas nak melalui fasa bercinta yang terlalu lama.

“Kalau orang itu serius, jom kahwin! Saya sampai tahap begitu sekarang ini tambahan pula perkahwinan memang digalakkan dalam Islam,” ujarnya selepas pelancaran album Lovelorn di TRX, semalam.

Buah tangan kedua selepas penerbitan album debut lima tahun lalu itu memuatkan 11 lagu ciptaannya sendiri itu yang juga nukilan perasaan serta pengalaman percintaan dilaluinya.

Selain album, Daiyan juga bakal menghiburkan peminat menerusi showcase eksklusif bersempena pelancaran Lovelorn yang berlangsung di Aurum Theatre, TRX pada 1 dan depan.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket berharga RM180 menerusi laman web rasmi Golden Screen Cinemas. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI