fbpx

Aina Abdul buat pelajar baharu Unimas histeria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aina tidak menyangka video persembahannya pada majlis orientasi mahasiswa baharu Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), tular di platform media sosial.

PETALING JAYA – Terkejut dan terharu, penyanyi Aina Abdul tidak menyangka video persembahannya pada majlis orientasi mahasiswa baharu Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), malam tadi tular dalam platform media sosial.

Ujar Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 31, dia berbesar hati dapat menjayakan persembahan di sana sekali gus mempromosikan konsert Aina Abdul Imaji Tour yang bakal berlangsung di Unimas, Kota Samarahan pada 14 Disember ini.

“Sejujurnya, saya tak sangka video persembahan saya tular. Saya berbesar hati dapat menghiburkan pelajar baharu yang mendaftar di Unimas.

“Mereka memberikan sambutan yang sangat baik dan saya gembira dapat menghiburkan mahasiswa di sana,” katanya kepada Kosmo! Online.

Video persembahan pelantun lagu Kamu yang membuat persembahan di minggu orientasi terbabit turut dikaitkan dengan situasi semasa mengenai fasilitator yang membuat ‘prank’ terhadap pelajar baharu.

Universiti tersebut juga dilambung pujian kerana tidak merancang gimik aneh sehingga membuatkan pelajar baharu tidak selesa seperti yang berlaku di institusi awam lain.

Mengulas mengenai isu terbabit, pemenang Anugerah Juara Lagu ke -37 (AJL37) itu percaya setiap universiti mempunyai cara tersendiri untuk mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu.

“Saya percaya setiap universiti ada cara tersendiri untuk mengendalikan minggu orientasi. Saya juga bekas graduan universiti, jadi apabila saya melangkah ke dewan melihat pelajar mendaftar, saya terkenangkan diri sendiri yang pernah menghadapi situasi sama.

“Bagi saya, apa yang penting adalah pelajaran. Saya berharap pelajar baharu dapat belajar dengan bersungguh-sungguh selepas tamat minggu orientasi. Itu lebih utama.

“Tak kisah apa sahaja cita-cita anda, sila utamakan pelajaran dan buat perkara yang dapat menggembirakan diri anda,” katanya lagi.

Terdahulu, video bertajuk ‘POV: Beza Orientasi di IPTA Sarawak dengan yang lain’ yang dikongsikan seorang pensyarah, Dr. Ash Zafrel mendapat perhatian ramai dan tular dalam platform TikTok.

“Tiada jeritan abang kakak fasi (fasilitator), sini artis datang buat ‘surprise’ dik,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Bukan itu sahaja, video tersebut juga memaparkan ratusan pelajar baharu meraung seperti histeria apabila Aina muncul membuat persembahan di atas pentas – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI