TAIPEI – Kebakaran sebuah hospital di selatan Taiwan menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 9.40 pagi (waktu tempatan) di daerah Pingtung, selepas Taufan Krathon tiba di daratan di bandar pelabuhan Kaohsiung, barat Taiwan.
Menurut pegawai tempatan, cuaca basah dan angin kencang menyukarkan pasukan keselamatan bertindak balas.
“Api berjaya dipadamkan dalam masa tiga jam, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Beberapa laporan tempatan mendakwa bahawa kebakaran itu berpunca daripada kerosakan elektrik.
Gambar yang dimuat naik di laman sosial menunjukkan sebahagian bangunan hospital dijilat api dengan asap tebal naik ke udara.
“Kira-kira 300 pesakit telah dipindahkan dan ada antara mereka mencari perlindungan di bangunan-bangunan komersial berhampiran,” tambahnya.
Askar dari pangkalan tentera berhampiran turut membantu anggota bomba memadamkan kebakaran. – AGENSI