fbpx

Zii Jia, Aaron-Wooi Yik untung besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA (tengah) menerima insentif bernilai RM100,000 atas kejayaannya meraih pingat gangsa Olimpik Paris 2024.

PENCAPAIAN meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 Ogos lalu membawa tuah buat beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia apabila terus mendapat pengiktirafan.

Terbaharu, mereka menerima insentif selaku duta minuman isotonik, 100PLUS di mana Aaron-Wooi Yik berkongsi wang tunai RM150,000, manakala Zii Jia merupakan penerima terbesar dengan RM100,000.

Pengarah Pemasaran F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Leong Wai Ying berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian serta prestasi ditampilkan Aaron-Wooi Yik dan Zii Jia pada temasya sukan terbesar dunia itu.

“Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik menggalas harapan seluruh rakyat Malaysia ke Paris sebelum ini. Harapan menggunung diletakkan ke atas mereka tetapi masih mampu untuk hadapinya dan memenangi pingat gangsa.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk beraksi di Sukan Olimpik, namun mereka menampilkan aksi seiring dengan idea 100PLUS selain mengerah kudrat ke tahap maksimum untuk berjaya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Insentif di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Jumlah insentif yang diberikan itu naik lebih sekali ganda jika dibandingkan ketika Aaron-Wooi Yik menerima RM60,000 sewaktu memenangi gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Sementara itu, Wooi Yik mengakui terkejut dengan jumlah insentif yang diterima selain menganggap ia sebagai pembakar semangat untuk mereka menggalas cabaran pada Kejohanan Badminton Terbuka Arctic di Vantaa, Finland minggu depan.

“Bagi saya, ini adalah motivasi yang cukup besar dan terkejut kerana 100PLUS sudah beri lebih kepada kita. Sudah tentu ia akan menjadi motivasi untuk kami bangkit di kejohanan seterusnya.

“Wang yang diterima ini sudah tentu menghargai keluarga, pasukan serta jurulatih. Mungkin kami akan mengadakan makan malam besar nanti untuk mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI