fbpx

Wanita OKU diculik jiran warga Bangladesh, dipukul guna tukul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LOKASI (kiri) dipercayai tempat mangsa diikat dan dikurung suspek di sebuah pangsapuri di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka.

MELAKA – Seorang wanita orang kelainan upaya (OKU lembam) diculik sebelum dipukul menggunakan tukul dan dikurung dua lelaki warga Bangladesh yang juga jirannya di sebuah bilik di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa berusia 22 tahun itu bagaimanapun berjaya diselamatkan kira-kira 30 minit kemudian oleh keluarganya yang membuat pencarian di sekitar pangsapuri berkenaan.

Katanya, mangsa ditemui dalam keadaan tangan dan kaki diikat dengan wayar pengecas telefon bimbit dan mengalami kecederaan di kepala.

“Kejadian dilaporkan berlaku pada pukul 7 malam apabila mangsa yang berada di belakang rumah didatangi dua lelaki lalu membawanya masuk ke dalam sebuah rumah.

“Tangan dan kaki mangsa diikat menggunakan wayar pengecas telefon bimbit. Kehilangan mangsa disedari keluarganya selepas wanita itu tidak pulang ke rumah dan operasi pencarian dibuat bersama jiran di kawasan berkenaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, hasil soal siasat mangsa memaklumkan, suspek memukul kepalanya dengan tukul sehingga tidak sedarkan diri sebelum diselamatkan ahli keluarga.

“Lokasi kejadian adalah pangsapuri di tingkat bawah terdapat tiga bilik dan dijadikan asrama warga asing yang bekerja sebagai buruh binaan.

“Tiada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi atau saksi yang melihat kejadian itu. Siasatan tidak menemui sebarang kesan darah, namun kita menjumpai tukul besi dan wayar pengecas telefon yang dipotong di lokasi,” ujarnya.

Susulan kejadian itu dua suspek berusia 20 dan 36 tahun diberkas di tepi jalan di Batu Berendam semalam. Mereka direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324/342 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI