PETALING JAYA – “Saya berada dalam mod delusi sama ada perlu pilih dia atau lelaki kedua. Dua-dua ajak kahwin”.
Demikian luahan seorang wanita yang tidak dikenali menerusi catatan di ruang mesej perkongsian tanpa nama (anonymous messages).
Akui wanita itu, kehadiran ‘orang ketiga’ menjadi punca dia tekad membatalkan perkahwinannya dengan bakal suami pada saat akhir meskipun segala persiapan sudah dilakukan.
“Saya rasa bersalah, saya sepatutnya bersama dengan bakal suami tapi saya tak datang majlis perkahwinan tersebut.
“Saya malu dengan perangai saya sendiri. Orang lain pasti akan benci saya. Tetapi perasaan saya juga penting,” katanya.
Wanita itu turut mendedahkan, disebabkan tindakannya majlis perkahwinan indah yang sudah dirancang sejak sekian lama terpaksa digantikan dengan majlis doa selamat memandangkan hampir kesemua persiapan telah lengkap.
“Saya sangat rasa bersalah. Dia berhabis RM20,000 untuk majlis perkahwinan itu akhirnya jadi doa selamat sahaja. Saya minta maaf,” luahnya.
Bagaimanapun, wanita tersebut tidak mendedahkan maklumat secara terperinci berkaitan perkahwinan yang tidak menjadi itu termasuklah gerangan bakal suaminya.
Terdahulu, kecoh di media sosial kisah seorang lelaki dikenali sebagai Adam ‘bersanding’ seorang diri disebabkan bakal pengantin perempuan tidak muncul pada majlis penting itu.
Suasana di dalam dewan itu juga digantikan kepada majlis doa selamat bagi meraikan tetamu yang hadir.
Menerusi pendedahan yang dibuat Adam dalam satu sesi siaran langsung kelmarin, dia mengatakan punca pernikahannya dibatalkan adalah kerana ‘orang ketiga’. – KOSMO! ONLINE