fbpx

Ulang-alik urus kakak, adik angin ahmar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI FARAH menunjukkan gambar kakaknya, Nadia di samping adiknya, Mohd. Nazli ketika ditemui di Pontian baru-baru ini.

PONTIAN – Seorang wanita menggalas tanggungjawab besar menjaga kakak sulung dan adik bongsu yang menghidap penya­kit angin ahmar.

Siti Farah Khamis, 40, berkata, kakak sulungnya, Nadia, 46, di­serang penyakit itu kira-kira dua bulan lalu.

Sebelum ini, Nadia yang merupakan suri rumah menguruskan adik bongsu mereka, Mohd. Nazli, 42, yang menghidap penyakit sama sejak Mei lalu.

“Adik saya terjatuh ketika berada di rumah sehingga berlaku pendarahan di kepala. Dia sudah menjalani pembedahan bagi mengeluarkan darah beku.

“Ketika ini adik saya tidak boleh bercakap kerana lehernya ditebuk bagi membantu pernafasan, jadi dia hanya meminum susu formula bagi menggantikan nasi dan makanan lain.

“Daripada adik yang cergas, dia kini seperti kanak-kanak yang perlu dijaga sepanjang masa,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Rambah di sini baru-baru ini.

Kosmo! pada 18 Jun lalu mela­porkan kisah Mohd. Nazli yang sebelum ini bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan RM2,000 sebulan sebelum di­serang penyakit angin ahmar.

Bercerita lanjut, Siti Farah berkata, bapa mereka, Khamis Md. Dom, 70, pula mempunyai penyakit semput menyebabkan warga emas itu tidak dapat membantu menjaga Mohd. Nazli.

“Setiap pagi saya akan pulang ke Rambah dari Johor Bahru untuk menjaga kakak dan adik kerana mereka tidak mampu menguruskan diri sendiri,” ujarnya.

Tambah Siti Farah, kakaknya mempunyai empat cahaya mata termasuk seorang anak perem­puannya yang menerima tawaran belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris, tetapi menolak berikutan keadaan kesihatan Nadia.

“Mohd. Nazli pula meminum susu formula dan memakai lampin pakai buang,” katanya.

Majlis Agama Islam Johor dijangka menyalurkan bantuan RM600 sebulan mulai bulan ini bagi membeli susu formula dan lampin pakai buang.

Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga Siti Farah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank atas nama Siti Farah bernombor 151025792066 atau menghubunginya di talian 012-7700031.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI