PETALING JAYA – Terus menjadi perhatian ramai, pelakon Fattah Amin menitipkan ucapan terima kasih kepada isterinya yang juga aktres, Nur Fazura kerana memberi peluang kepadanya meraikan ulang tahun kelahiran keempat anak perempuan mereka, Nur Fatima Aisya semalam.
Perkara itu dikongsi Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, menerusi sebuah hantaran Instagram memaparkan dia meraikan hari jadi Fatima di sebuah ‘indoor playground’ selain turut memotong kek bersalut krim putih.
“Selamat hari jadi baby! Kasihan sampai tertido ketika balik. Terima kasih mommy beri peluang kepada daddy untuk ‘dating’ dengan Fatima,” katanya ringkas.
Menerusi perkongsian sama, Fatima dilihat gembira menghabiskan masa bersama bapanya selain bermain di taman permainan ‘indoor’ tersebut.
Sementara, dalam ruangan komen dibanjiri dengan ucapan daripada netizen termasuk ramai berasa sebak melihat momen Fattah dan Fatima tersebut.
“Mereka nampak gembira tapi kenapa kami pula rasa sedih. Fatima nampak rindu sangat dengan Fattah.
“Semoga Allah SWT pelihara perkahwinan Fattah dan Fazura. Kasihan melihat Fatima.
“Sayu hati dengar Fatima panggil daddy ‘come daddy come’. Selamat hari lahir Fatima,” komen netizen.
Terdahulu, Fazura pada 13 September lalu mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Namun, pada prosiding pertama kes perceraian mereka 25 September lalu, Fattah tidak bersetuju untuk melafazkan talak terhadap Fazura di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Mahkamah seterusnya menangguhkan kes perceraian pasangan itu ke tarikh baharu, pada 7 Oktober depan.
Fazura kemudian dalam sebuah perkongsian di Instagram memaklumkan dirinya nekad mahu bercerai dengan Fattah demi mempertahankan maruah dan kesejahteraan hidup bersama Fatima.
Untuk rekod, Fazura dan Fattah telah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang anak perempuan. – KOSMO! ONLINE