TANGKAK – Seorang wanita kerugian RM485,100 selepas diperdaya kononnya tidak membayar cukai pendapatan dan akan ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bila-bila masa.
Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa dua hari lalu.
Menurutnya, mangsa mendakwa menjadi mangsa penipuan job scam. Semuanya bermula pada Julai lalu selepas dia menerima pesanan ringkas daripada suspek supaya memuat naik aplikasi We Sing.
“Seterusnya mangsa memuat naik video nyanyian untuk mendapat ganjaran berupa gift.
“Mangsa kemudiannya dihubungi suspek bernama Mr Jimmy dan mendakwa pemilik aplikasi We Sing telah ditangkap oleh pihak SPRM.
“Suspek juga telah menakutkan mangsa dengan mendakwa wanita tersebut tidak membayar cukai pendapatan persendirian berjumlah RM200,000 dan boleh ditangkap pihak SPRM pada bila-bila masa,”katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Roslan, mangsa yang terpedaya dan berasa takut dengan ugutan tersebut, wanita berkenaan telah membuat bayaran ke dalam 19 akaun suspek bermula 10 Julai sehingga 30 September lalu.
“Sebanyak 64 transaksi telah dipindahkan kepada Mr. Jimmy melalui mesin ATM sebelum mangsa menyedari telah ditipu setelah menceritakan perkara tersebut kepada anaknya. – KOSMO! ONLINE