fbpx

Stadium Sepak Takraw mampu jadi kenyataan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANNAH akan berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur mengenai prospek Stadium Titiwangsa bertukar menjadi Stadium Sepak Takraw.

HASRAT Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk memiliki stadium khas semakin hampir direalisasikan selepas mendapat perhatian penuh daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk membantu sukan tradisi itu mempunyai ‘rumah sendiri’.

Hannah menegaskan bahawa pihaknya sedang meneliti permintaan PSM selepas presidennya, Datuk Sumali Reduan mengusulkan agar Stadium Titiwangsa dinamakan secara rasmi sebagai Stadium Sepak Takraw.

Bagaimanapun, Hannah mengakui pihaknya perlu membincangkan perkara tersebut bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif mengenai permintaan PSM mengenai Stadium Titiwangsa.

“Saya akan bawa permintaan ini kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu dalam satu mesyuarat yang telah dijadualkan. Keputusan lanjut akan dimaklumkan selepas pertemuan tersebut,” kata Hannah ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Inisiatif Milo kepada atlet Olimpik dan Paralimpik di Tun Razak Exchange (TRX) kelmarin.

Selain itu, Hannah menyatakan PSM turut berhasrat memperluaskan pembangunan sukan sepak takraw di peringkat akar umbi terutamanya dalam kalangan masyarakat orang asli.

“Sukan sepak takraw tidak mahal dan mudah dimainkan, jadi KBS dan PSM akan bekerjasama memperkenalkan lebih banyak klinik sepak takraw untuk orang asli melalui program Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN),” tambahnya.

Memandangkan Malaysia dijangka menjadi tuan rumah Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025, keputusan untuk menjadikan Stadium Titiwangsa sebagai ‘rumah’ bagi sukan warisan tersebut hadir pada waktu yang tepat.

Ini dibuktikan dengan kejayaan PSM sewaktu penganjuran Piala Dunia Sepak Takraw Kuala Lumpur 2024 dengan kehadiran jumlah penonton yang luar biasa sekali gus menunjukkan Malaysia memerlukan stadium khusus untuk sukan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI