BANGKOK – Seorang pengguna Facebook memuat naik klip video memaparkan lembaga misteri melempar objek berbentuk panjang dari sebuah bangunan terbengkalai di Bali Hai Pier, Pattaya, lapor laman berita Thaiger semalam.
Dalam video tersebut, lembaga itu membaling objek kelihatan seperti batang berwarna putih berukuran lebih 3 meter dari sebuah balkoni di projek perumahan terbiar itu.
Objek itu dilontar dari tingkat 20 bangunan tersebut dan menimbulkan tanda tanya mengenai lembaga misteri tersebut.
Bangunan itu dahulunya merupakan sebuah projek kondominium mewah dan hotel yang dikenali sebagai Waterfront.
Ia terbengkalai sejak lewat 2008 dan menjadi berita utama pada akhir 2013 apabila bekas Datuk Bandar Pattaya didakwa di mahkamah.
Bagi menyiasat kejadian itu, sekumpulan wartawan pergi ke kawasan tersebut bagi melihat sendiri keadaan bangunan.
Sejurus tiba, mereka mendapati terdapat sekumpulan pekerja sedang membersihkan dan mengalihkan barang keluar dari bangunan itu, dengan kebanyakannya adalah palang besi dan palang aluminium.
Ketika ditanya, salah seorang pekerja menjawab: “Bos mengarahkan kami membersihkan dan mengalihkan barang keluar dari bangunan ini kerana hampir semua yang ada di dalamnya telah dicuri.” – AGENSI