JITRA – Isteri kepada Sabari Baharom, 62, reda andai jasad suaminya tidak ditemui setelah operasi pencarian di sepanjang Sungai Padang Terap, di sini dihentikan malam tadi.
Menurut Subhiah Roslina Shahibi, 57, operasi pencarian jasad suaminya itu telah dilakukan dengan baik oleh pihak berkuasa selama tiga hari, namun gagal menemui petunjuk.
“Kita dah tahu yang arwah (suami) memang sudah tak ada, keluarga reda dan terima (ketentuan) itu. Cuma harapan agar jasad ditemui tetap ada, andai tidak ada juga kita nak kata apa kerana ini semua atas keizinan Allah juga.
“Kita kan orang Islam, mana kita nak benda yang tidak elok. Kalau boleh kita nak semua yang elok dan baik, kalau mati pun nak benda yang baik dan nampak depan mata. Kalau tak ada, kita terima dan reda sahaja kerana mungkin itu janji Allah dengan dia,” katanya.
Dia ditemui di lokasi disyaki Sabari dicampakkan ke Sungai Padang Terap di Wang Tepus, di sini hari ini. Subhiah juga hadir di lokasi pencarian sejak hari kedua pencarian dilakukan.
Katanya, dia akan pulang ke Kuala Lumpur hari ini dan bakal kembali ke situ lagi selepas ini.
“Saya mungkin datang lagi kerana kawasan ini sudah jadi macam tanah kubur dia. Saya dan keluarga juga akan mengadakan solat ghaib dan tahlil buat arwah,” ujarnya.
Luahnya, walaupun sedih menerima apa yang berlaku terhadap suaminya itu, dia perlu harus berdamai dengan takdir itu.
“Saya boleh terima tetapi sedihlah kerana kita manusia dan ada perasaan. Hati saya jadi sedih bila teringat momen bersama arwah, nak buat macam mana sampai itu sahaja tahap dia kan.
“Saya juga alami banyak benda dalam hidup dan insya-Allah boleh terima apa berlaku. Selepas ini saya perlu menjalani kehidupan macam biasalah,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, dia berpuas hati dengan operasi pencarian dilakukan pihak polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Saya berpuas hati tengok mereka buat pencarian, yang mana mereka sudah buat kerja mengikut kemampuan mereka.
“Namun, saya faham bahawa kes ini sudah lama berlaku iaitu pada 4 September lalu, jadi lebih kurang tiga minggu baru buat SAR selepas tahan suspek,” jelasnya.
Katanya, selain itu, tempat tersebut juga merupakan lokasi banjir yang mana ia berlaku sebanyak dua kali sehingga menyebabkan aliran sungai deras.
“Operasi ini saya rasa akan ada rumusan untuk menentukan jalan pendekatan yang akan diambil selepas ini,” tambahnya.
Selain Subhiah, turut kelihatan berada di lokasi semasa operasi pencarian pada kelmarin adalah ketiga-tiga anak Sabari iaitu Suraiya Izzaty, 26; Nur Aina Sofiya, 28, dan Muhammad Amir Hakimi, 25, bersama ahli keluarga lain. – KOSMO! ONLINE