fbpx

Saman fitnah Habibul Rahman – Syed Saddiq selesai cara baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq bersalaman dengan Habibul selepas prosiding kes hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah yang dikemukakan bekas penasihat kepada Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung dakwaan konspirasi akhirnya diselesaikan secara baik di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Ia berikutan Habibul Rahman Kadir, 68, selaku plaintif dan Syed Saddiq, 32, sebagai defendan dalam kes saman itu bersetuju untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah tanpa melalui perbicaraan.

Semasa prosiding, peguam Datuk Seri Jahabardeen Mohamed Yunoos yang mewakili Habibul memaklumkan kepada mahkamah bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes saman itu secara baik di luar mahkamah dan bersetuju dengan terma-terma penyelesaian.

Mendengar perkara itu, peguam Lim Wei Jiet
yang mewakili Syed Saddiq kemudian mengesahkan perkara itu serta persetujuan penyelesaian kes kedua-dua belah pihak.

Hakim Norakhmar Mohd. Sani kemudian merekodkan penghakiman persetujuan yang dipersetujui kedua-dua pihak selain turut melapangkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Terdahulu Syed Saddiq mengemukakan permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan fitnah ke atas plaintif.

“Saya, Syed Saddiq bin Syed Rahman, dengan ikhlas hati memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Habibul Rahman bin Kadir Shah kerana telah membuat kenyataan- kenyataan fitnah terhadap Habibul Rahman semasa sidang media di Seri Pacific Hotel pada 02.10.2017.

“Pada sidang media tersebut, saya telah merujuk kepada ancaman yang dibuat terhadap diri saya dan keluarga saya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Saya menegaskan bahawa ancaman tersebut benar-benar berlaku terhadap saya dan keluarga saya. Namun begitu, saya kemudiannya telah menerima maklumat lanjut, dan kini menyedari bahawa semasa membuat kenyataan-kenyataan fitnah tersebut, saya telah disesatkan oleh beberapa pihak yang menyebabkan saya percaya bahawa apa yang saya alami pada tempoh tersebut adalah disebabkan oleh Habibul Rahman.

“Saya kesal dan dengan penuh rasa rendah hati memohon maaf atas kenyataan-kenyataan fitnah saya yang telah menyebabkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada Habibul Rahman.

“Saya mengakui bahawa kenyataan saya telah mencemarkan reputasi beliau dan merosakkan imej terhormat seorang individu yang pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada Perdana Menteri ke-6 Malaysia, memegang pelbagai jawatan Pengarah dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCs), pengasas HKS Consultants Sdn. Bhd; seorang Pakar Strategist Korporat, dan juga pensyarah.

“Saya juga mengakui bahawa kenyataan-kenyataan fitnah saya mengenai Habibul Rahman timbul daripada maklumat yang mengelirukan yang telah disampaikan kepada saya, tetapi kini saya tahu maklumat tersebut adalah palsu dan tidak benar.

“Saya dengan setulus hati memohon maaf tanpa syarat kepada Habibul Rahman, dengan harapan permohonan maaf ini dapat membersihkan nama baik beliau serta dapat memulihkan hubungan professional dan hubungan peribadi di antara saya dan Habibul Rahman.

“Saya beraku janji bahawa saya tidak akan sama sekali mengulangi kenyataan-kenyataan fitnah dan menyinggung tersebut atau apa-apa kata-kata kesat yang seakan-akan dengannya pada masa hadapan terhadap Habibul Rahman,” katanya.

Pada 16 November 2021, Habibul memfailkan saman terhadap pengasas Muda itu, di Mahkamah Tinggi di sini, namun, kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI