fbpx

Poligami: Suami digesa maklum mahkamah bukan minta ‘tandatangan’ isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAHMAD pada sidang akhbar Majlis Perasmian Penutup Forum Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H dan Ceramah Kekeluargaan Peringkat Negeri Melaka di Auditorium Masjid Al-Azim, Melaka.

MELAKA – Para suami dinasihatkan untuk membuat permohonan perkahwinan di Mahkamah Syariah terlebih dahulu dan bukannya berpoligami secara rahsia bagi mengurangkan kes penceraian serta konflik anak tidak sah taraf.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kes perceraian di negeri ini direkodkan meningkat setiap tahun termasuk melibatkan kes poligami.

Katanya, mengikut statistik, sehingga bulan lalu sebanyak 56 individu atau 28 kes direkodkan membabitkan isu poligami tanpa kebenaran mahkamah, berbanding 15 kes pada 2023 dan hanya lima kes 2022.

“Poligami memang dibenarkan dalam Islam cuma menjadi sedikit isu dalam kalangan masyarakat apabila ia berlaku tanpa kebenaran (mahkamah).

“Jadi kita sarankan supaya mana-mana suami yang rasakan berkemampuan untuk berpoligami mohon kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Syariah Melaka dan Insya-Allah kita akan bantu dan permudah proses perkahwinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Perasmian Penutup Forum Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H dan Ceramah Kekeluargaan Peringkat Negeri Melaka di Auditorium Masjid Al-Azim, hari ini.

Tambahnya, dalam tempoh sama sebanyak 48 kes melibatkan kesalahan Seksyen 35 iaitu tidak hadir didepan pendaftar dalam masa ditetapkan dan Seksyen 40 sebanyak 64 kes iaitu kesalahan berhubung dengan akad nikah perkahwinan.

Jelasnya, bagi mempercepatkan proses permohonan berpoligami, pihak mahkamah kini mengadakan perbicaraan bersama pemohon di kamar hakim dan bukannya di galeri awam seperti sebelumnya.

Mengulas lanjut Rahmat berkata, konsep digunakan kebanyakan suami iaitu meminta maaf kepada pasangan selepas berkahwin lain hanya menyebabkan peningkatan kes konflik anak tidak sah taraf.

“Zuriat itu tidak boleh dibinkan dengan nama bapa apatah lagi kalau mereka berkahwin dengan warga negara asing, lagi bermasalah kerana dari segi status warganegara pun mungkin tak dapat diletakkan (kerakyatan Malaysia).

“Pengesahan pernikahan di mahkamah syariah ini penting supaya jelas nasib anak-anak mereka terbela pada masa akan datang kalau tak nanti nak bersekolah susah, nak kerja susah. Bukan semua anak itu luar nikah tetapi sebenarnya tidak sah taraf kerana kesilapan ibu dan bapa,” katanya,” ujarnya.

Katanya, terdapat juga beberapa kes pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini yang tidak dapat diberikan anugerah kerana konflik berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI