fbpx

Perlu ada kesatuan antara 9 Raja-Raja Melayu – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pertemuan antara Sultan Sharafuddin dan Tunku Mahkota Ismail Selasa lalu.

PETALING JAYA – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan bahawa perlunya ada kesatuan dan kesepaduan yang utuh di antara kesemua sembilan Raja-Raja Melayu.

Menerusi hantaran di Instagram rasmi kerabat di Raja Selangor hari ini, baginda bertitah, Raja-Raja Melayu mesti bekerjasama sebagai satu pasukan dan sentiasa bantu-membantu ketika berdepan apa jua permasalahan rakyat jelata.

“Ini sangat penting kerana peranan Raja-Raja Melayu dalam menaungi kesejahteraan hidup rakyat kini melangkaui isu-isu agama, malah turut membabitkan isu-isu semasa lain.

“Baginda turut mengingatkan kepada semua Kerabat diRaja supaya mempamerkan adab budaya yang baik ketika muncul di khalayak umum ataupun di media sosial dengan menonjolkan pekerti mulia agar dihormati dan disayangi rakyat,” tulis kenyataan terbabit.

Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa isu-isu yang sensitif membabitkan sesama Raja-Raja Melayu dielakkan daripada dibincangkan di media-media sosial.

Mengenai bola sepak, kesefahaman telah dicapai bahawa tidak akan ada lagi perselisihan dan pertelagahan yang boleh mengundang permusuhan sehingga membawa kepada keganasan.

“Baginda menegaskan sekali lagi bahawa bola sepak adalah sukan rakyat yang telah sekian lama menyatupadukan masyarakat, justeru ia harus dipelihara dan dikekalkan sebagai salah satu wadah keharmonian negara,” tulis hantaran itu lagi.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah berkenan menerima menghadap Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor pada tanggal 1 Oktober 2024 di Istana Selangor, Kuala Lumpur.

Dalam pertemuan selama lebih sejam itu, Tuanku Sultan dan Tunku Mahkota Ismail membincangkan pelbagai isu yang melibatkan institusi diRaja dan arena bola sepak tanah air.

Tuanku Sultan menzahirkan ucapan terima kasih di atas keberangkatan Tunku Mahkota Ismail untuk menghadap. Baginda berasa sukacita dengan hasil pertemuan ini serta menerima baik isi kandungan warkah permohonan menghadap oleh Tunku Mahkota Ismail bertarikh 6 September 2024. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI