JAKARTA – Seorang lelaki ditahan selepas melarikan diri bersama wang tabung derma sebuah masjid di Klaten, wilayah Jawa Tengah, lapor saluran berita Detik News semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 2 petang (waktu tempatan) pada 30 September lalu.
Rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @kabar_klaten memaparkan lelaki itu ditangkap dan dipukul oleh penduduk tempatan.
“Pencuri wang derma masjid melarikan diri dengan motosikal sebelum dikejar oleh penduduk tempatan.
“Dia kemudian ditangkap selepas masuk dalam sungai bersama motosikalnya,” demikian menurut keterangan video itu.
Ketua Polis Cawas, AKP Umar Mustofa berkata, suspek cuba melarikan diri tetapi gagal kerana melalui jalan mati.
“Suspek melalui jalan mati menyebabkan dia sanggup melemparkan dirinya ke dalam sebatang sungai sedalam 25 meter.
“Wang yang dicuri berjumlah 19,000 rupiah (RM5),” tambah Umar. – AGENSI