GUA MUSANG – Seorang pekebun warga Bangladesh maut selepas trak pikap jenis Toyota Hilux yang dipandu terbabas sebelum merempuh besi penghadang di Kilometer 94, Jalan Gua Musang-Lojing di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Nurnabi, 32, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala ketika melompat keluar dari kenderaannya untuk menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati, mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands, Pahang menghala ke arah Gua Musang.
Katanya, setibanya di lokasi, trak pikap dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh penghadang besi. Nahas menyebabkan trak pikap itu terbabas ke kanan jalan dan bergesel dengan tembok batu penghadang.
“Mangsa dipercayai melompat keluar dari trak pikap semasa kenderaan itu bergesel pada tembok sejauh 200 meter sebelum kenderaan tersebut berhenti,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Choon Foo memberitahu, tindakan lelaki itu menyebabkan dia mengalami kecederaan dan maut di lokasi kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang di sini untuk dibedah siasat. – KOSMO! ONLINE