fbpx

Pahang bergaya lanyak Singapura 18-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PAHANG (jersi putih) terlalu unggul untuk ditandingi Singapura apabila menang 18-0 dalam aksi pertama Piala Tun Abdul Razak semalam. - MHC

KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki Pahang memulakan kempen Piala Tun Abdul Razak 2024 dengan penuh bergaya apabila mencatat kemenangan besar selepas membelasah Singapura 18-0 di Stadium Taman Daya, Johor Bahru semalam.

Ketua jurulatih Pahang, Mohd Sufian Mohamad meluahkan kegembiraan dengan prestasi cemerlang pasukannya selain menyatakan keputusan itu lebih daripada jangkaan sekali gus memberikan suntikan semangat untuk terus konsisten sepanjang kejohanan.

“Saya sendiri tidak sangka pasukan mampu menjaringkan sebanyak itu, tapi ini adalah petanda baik. Ia membuktikan anak buah saya berada dalam momentum yang tepat, dan kemenangan besar ini tentunya akan menaikkan semangat mereka,” kata Sufian.

Sufian turut mengakui bahawa kejayaan besar itu adalah hasil daripada perancangan taktikal yang kemas serta penyempurnaan pukulan sudut penalti yang mantap.

“Kita bijak mengambil peluang dengan mengatur pergerakan dan mengikut taktikal yang teratur. Pukulan sudut penalti kita juga menjadi, dan ini banyak membantu pasukan mendominasi permainan,” tambahnya.

Begitupun, beliau tetap realistik mengenai cabaran yang bakal ditempuh dalam perlawanan seterusnya, dengan menyatakan pasukan-pasukan kuat seperti Terengganu, Perak, Johor, dan Sabah akan memberi tentangan sengit dalam saingan Piala Tun Abdul Razak kali ini.

“Perlawanan sukar menanti di hadapan, tapi kami akan fokus dan lakukan yang terbaik. Sasaran utama kami adalah untuk melangkah ke final, dan mencipta sejarah bagi Pahang,” jelas Sufian.

Pada edisi sebelum ini, Pahang hanya mampu mara sehingga ke separuh akhir, namun tahun ini mereka nekad mahu menamatkan kempen dengan lebih gemilang, berbekalkan semangat dan prestasi luar biasa yang ditampilkan dalam perlawanan pembukaan.

Sebagai rekod, pada edisi 2023, Kuala Lumpur mencatat kejayaan bersejarah dengan menamatkan kemarau 12 tahun, menewaskan Melaka 4-2 menerusi penentuan penalti shoot-out untuk menjulang Piala Tun Abdul Razak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI