fbpx

Loya, muntah akibat buangan sisa najis ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Harrison (tengah) dan penduduk menunjukkan keadaan parit yang tercemar di sekitar Kampung Simpang 3 Jeram, Kuala Selangor, hari ini.-FOTO ISKANDAR SHAH MOHAMED/ KOSMO!

KUALA SELANGOR – Lebih 5,000 penduduk tiga buah kampung di Jeram di sini terpaksa menanggung risiko masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu susulan pembuangan sisa najis ayam dari sebuah kilang di kawasan itu.

Malah, kilang terbabit seakan berdegil tanpa sebarang langkah penyelesaian meskipun pernah dikompaun oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPPKP) Kampung Simpang 3, Mohd. Norkhan Rais berkata, tindakan segera perlu dilakukan agar penduduk tidak terus berdepan simptom sesak nafas, loya dan muntah.

Katanya, penduduk di kawasan kampung berhampiran iaitu Kampung Jeram dan Kampung Bukit Kuching turut terjejas akibat pencemaran bau dari kilang sama.

“Isu ini seolah-olah tiada jalan penyelesaian dan kilang masih tetap beroperasi seperti biasa.

“Kami menggesa tindakan lebih tegas diambil bagi memastikan aliran air sisa najis itu tidak mengalir ke kampung sehingga mengakibatkan isu kesihatan dan pencemaran bau,” katanya ketika ditemui bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan di lokasi itu hari ini.

Penduduk, Zairul Majid, 49, pula memaklumkan mereka kerap terhidu bau pencemaran di kawasan parit terutama pada waktu malam.

“Bau busuk air sisa najis ayam itu menyebabkan saya sering kali loya dan keadaan sama turut dialami anak yang menghidap asma.

“Ada daripada penduduk juga terpaksa mendapatkan rawatan di klinik kesihatan akibat masalah pencemaran itu,” ujarnya.

Bagi Azhar Abdullah, 49, mengakui rimas rimas melihat air bertukar hitam dan berbuih di kawasan parit sekitar kilang memproses najis ayam berkenaan.

“Keadaan semakin teruk apabila hujan kerana aliran air memasuki parit rumah penduduk. Beberapa bantahan pernah dibuat terhadap kilang itu namun tiada penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, Harrison berkata, pihaknya akan mengemukakan aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak pengurusan kilang itu bagi tindakan lanjut.

“Hasil tinjauan mendapati kilang itu perlu menyediakan sistem rawatan dan penapisan air sistematik supaya tidak mengalir ke parit kampung penduduk.

“Kita berharap JAS dapat mengambil tindakan berkaitan isu pencemaran itu mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI