fbpx

Lima kematian akibat denggi di Pahang tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZALI Kassim (dua dari kiri) dan Rusdi Abdul Rahman (dua dari kanan) melepaskan nyamuk Aedes berWolbachia di Taman Pasdec Makmur Indera Mahkota 2, di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Pahang mencatatkan jumlah peningkatan kematian akibat kes denggi dengan lima kematian dicatatkan pada tahun ini berbanding hanya satu kematian dicatatkan pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, peningkatan sebanyak 400 peratus itu sekali gus menjadikan Pahang sebagai negeri kedua tertinggi merekodkan jumlah kematian pada tahun ini.

“Punca berlakunya peningkatan terbabit adalah disebabkan berlakunya pembiakan aedes di banyak lokasi sama ada di dalam rumah, di luar rumah, di taman permainan, di kawasan kebun sayur dan sebagainya.

“Kebanyakannya adalah disebabkan oleh kecuaian individu tertentu yang tidak menjaga kebersihan. Apabila berlakunya kes sebegini, kesannya bukan sahaja ke atas individu malah juga kepada masyarakat setempat. Itu yang kita mahu elakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelepasan Nyamuk Aedes BerWolbachia di Taman Pasdec Makmur Indera Mahkota 2, di sini hari ini.

Dalam pada itu Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman memberitahu kesemua mangsa yang terlibat adalah individu berumur antara 40 hingga 50 tahun dengan masing-masing satu daripada Bentong, Bera, Kuantan, Raub dan Rompin.

Katanya, hasil siasatan mendapati, antara punca lain yang menyebabkan berlakunya kematian terbabit adalah kelewatan pesakit mendapatkan rawatan.

“Jadi kita mohonlah supaya mereka yang demam terutama yang demam yang kuat, 38 darjah selsius ke atas, tolong datang ke klinik kerajaan atau pun swasta untuk mendapatkan rawatan dan juga penyiasatan.

“Sebab kita ada ujian yang kita boleh buat untuk kesan sama ada demam denggi atau pun tidak. Lepas pada itu, apabila dia (pesakit) sudah datang ke klinik kesihatan dan sudah dapatkan rawatan tetapi masih tidak baik, datang semula ke klinik kesihatan yang sama, jangan pergi klinik lain sebab sejarah (rawatan) sudah jadi lain.

“Datang ke klinik yang sama dan kita akan siasat semula dan kita akan bagi peringatan. Kalau misalnya masih tidak baik, kita akan rujuk ke hospital untuk di masukkan ke dalam wad untuk pemerhatian,”katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI