MANCHESTER – Manchester United berpeluang untuk memulihkan sedikit imej mereka yang rosak selepas tewas kepada Tottenham Hotspur di Old Trafford hujung minggu lalu menjelang aksi menentang FC Porto dalam saingan Liga Europa awal pagi esok.
Rekod cemerlang United selaku juara 20 kali Liga Perdana Inggeris agak tercalar sejak beberapa musim lalu, malah musim ini dianggap terburuk apabila mereka hanya mengutip tujuh mata dalam enam perlawanan dan menjaringkan lima sahaja gol.
United juga memulakan kempen pada saingan Liga Europa dengan prestasi kurang memberangsangkan apabila sekadar terikat 1-1 ketika menentang FC Twente di Old Trafford sebelum ini.
Pengendali pasukan, Erik Ten Hag sekali lagi merayu kepada peminat untuk memberikannya sedikit masa bagi mengubah nasib pasukan itu, namun mengakui United beraksi di bawah tahap sebenar.
“Kami perlu menunjukkan daya tahan kerana apa yang dipamerkan setakat ini tidak cukup bagus. Kami perlu menerimanya, namun dalam masa yang sama kami perlu memberikan aksi lebih naik.
“Ia sentiasa menjadi hari yang baharu. Saya memberitahu pemain, kami perlu belajar untuk memberikan aksi lebih baik.
“Saya fokus kepada aksi menentang Porto. Kami perlu lupakan kekalahan kepada Spurs dan terus bergerak ke hadapan. Kami perlu mengubah nasib dengan memulakannya semula. Musim ini masih baharu dan masih banyak perlawanan yang perlu diharungi,” jelasnya. – AGENSI