LANGKAWI – Seorang juruteknik dikhuatiri hilang selepas terjatuh semasa melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di platform Eagle’s Nest SkyWalk Langkawi di sini hari ini.
Mangsa, Khairul Nizam Jaffar, 41, yang dipercayai terjatuh dari tingkat dua platform masih belum ditemui setakat ini.
Ketua Zon 4 Langkawi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Mohd. Zamri Abd Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.15 tengah hari tadi memaklumkan mangsa terjatuh dari ketinggian 40 hingga 50 meter (m).
“Seramai tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Matsirat dan lapan anggota BBP Langkawi digerakkan ke lokasi. Mereka kini dalam usaha untuk mencari mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zamri, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Rapid Rescue Vehicle (RRV), Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) turut berada di lokasi kejadian.
“Dikhabarkan cuaca hujan ketika kejadian, namun tidak lebat dan anggota bomba akan turun ke bawah gunung untuk mencari lelaki tersebut,” ujarnya.