fbpx

Juadah nostalgia taruhan Kompleks Makan Tanglin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nasi Lemak Tanglin terkenal sejak tahun 1948.

KERANGUPAN ikan bilis goreng dan kacang tanah panggang memberikan rasa kontras terhadap kelembutan nasi lemak yang dikukus selama dua jam.

Lebih enak, sambal nasi lemak itu diperbuat daripada kisaran ikan bilis, udang dan cili yang dimasak selama tiga jam bagi menghilang rasa cili mentah.

Juadah di gerai nombor enam tersebut boleh dinikmati bersama pelbagai lauk seperti sambal sotong, paru goreng dan aneka masakan ayam serta daging.

Resipi turun-temurun sejak tahun 1948 itu merupakan antara tarikan utama di Kompleks Makan Tanglin di Jalan Cenderasari, Tasik Perdana, Kuala Lumpur.

Menurut Pengerusi Kompleks Makan Tanglin, Roslina Mokhtar, gerai yang diberi nama Nasi Lemak Tanglin itu merupakan antara paling lama beroperasi di kompleks tersebut.

“Medan selera Tanglin pada asalnya merupakan kedai tepi jalan yang beroperasi di bawah pokok besar sebelum dinaik taraf menjadi medan selera.

“Medan selera yang sekarang sudah beroperasi hampir 22 tahun di sini, tetapi ada sesetengah kedai memiliki sejarah hampir 40 tahun berniaga di kawasan ini,” katanya.

Nasi lemak aneka lauk.

Untuk rekod, Kompleks Makan Tanglin yang dibina di atas tanah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) tersebut mula beroperasi pada 2002.

Dahulu, kompleks yang terletak bersebelahan dengan Klinik Kesihatan Tanglin itu diselia oleh Kementerian Kesihatan Wilayah Persekutuan.

Lokasi tersebut merupakan tumpuan pesakit dan keluarga yang pergi klinik serta kompleks pejabat di sekitarnya.

Difahamkan, kompleks tersebut bakal diselia sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada masa akan datang.

Jelas wanita berusia 42 tahun itu, terdapat tujuh kedai makan di bawah kompleks tersebut termasuk kedai hujung sekali yang menjual surat khabar dan makanan ringan.

“Bagi pelanggan yang inginkan makanan ala kopitiam, mereka boleh ke kedai nombor satu yang menyajikan teh Cina, roti bakar, roti stim dan telur separuh masak.

“Sementara itu, menu paling ‘hangat’ di kedai Mak Wan pula adalah nasi campur, ikan bakar dan nasi dagang,” katanya.

Wakil DBKL menyampaikan cenderamata kepada Roslina.

Uniknya di kedai Tapau, juadah yang disediakan terbahagi kepada dua iaitu sarapan pagi dan makanan tengah hari.

Untuk sarapan, menu yang dijual adalah pulut kuning, soto, lontong kuah lodeh, nasi lemak berlauk dan kuih-muih.

Manakala untuk makanan tengah hari, pelanggan boleh menikmati nasi campur, mi bandung, mi kari dan laksa.

Sekiranya pelanggan mengidam masakan Cina, mereka boleh memesan mi kicap, mi kari, mi goreng dan mi kung fu di kedai Mee Goreng Tanglin.

Akhir sekali, masakan seperti nasi campur ikan bakar, sotong bakar dan ayam bakar boleh didapati di Pak Din Ikan Bakar.

Tambah Roslina, pelanggan akan dihiburkan oleh kumpulan pemuzik atau busker yang membuat persembahan sepanjang hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI