WASHINGTON – Sekumpulan ibu bapa di negeri California menyerahkan anak masing-masing kepada polis selepas mereka menonton video tular memaparkan kumpulan kanak-kanak terbabit melakukan rompakan dan vandalisme di beberapa kedai serbaneka 7-Eleven, lapor saluran berita Mailonline semalam.
Jabatan Polis Los Angeles mengeluarkan klip video dan gambar menunjukkan lebih 40 remaja lelaki itu yang didakwa terlibat dalam perhimpunan haram atau ‘flash mob’ di kawasan Rampart, Hollywood, Wilshire serta barat Los Angeles.
“Beberapa keluarga remaja terbabit terkejut melihat tingkah laku yang dipaparkan dan menyerahkan anak mereka kepada polis untuk diadili,” katanya.
Timbalan ketua polis tempatan, Blake Chow berkata: “Sepasang suami isteri membawa anak mereka yang terlibat dalam rompakan ini ke balai polis pada 28 September lalu.
“Pada keesokan harinya, ramai ibu bapa lain melakukan perkara sama,” kata Chow.
Polis masih cuba mengenal pasti baki suspek, manakala tidak jelas sama ada remaja yang diserahkan akan menerima hukuman lebih ringan.
“Suspek-suspek ini bukan sekadar mencuri, mereka sengaja merosakkan barangan mahal seperti mesin pembuat kopi, cermin mata, dan memusnahkan kedai itu sama sekali,” kata sorang lagi pegawai polis.
Kejadian berlaku sehari selepas beberapa cawangan kedai serbaneka itu melancarkan ‘Hari Slurpee Percuma’.
Suspek-suspek itu dilaporkan menceroboh kira-kira 14 lokasi 7-Eleven dan memusnahkan barangan, merobohkan rak serta memecahkan tingkap.
“Tiada kecederaan dilaporkan dan siasatan sedang giat dijalankan,” tambahnya. – AGENSI