fbpx

Genting sumbang RM29.4 juta bina Balai Bomba Gohtong Jaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOR MING (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Genting Malaysia Berhad, Tan Sri Lim Kok Thay (tiga dari kanan) dan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad dua dari kanan menyempurnakan simbolik majlis pecah tanah Balai Bomba dan Penyelamat Gohtong Jaya di Genting Highlands di Bentong.

BENTONG – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan sejarah baharu menerusi pembinaan balai bomba di Gohtong Jaya, Genting Highlands di sini melibatkan sumbangan pihak swasta melalui kerjasama pintar dengan Genting Malaysia Berhad (Genting Malaysia).

Balai bomba bernilai RM68 juta itu dibina dengan peruntukan kerajaan berjumlah RM39 juta, manakala selebihnya RM29.4 juta merupakan sumbangan Genting Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pembinaan balai bomba dilengkapi fasiliti bertaraf dunia yang dijangka siap pada 2026 itu melakar sejarah baharu negara dengan hasil kerjasama strategik dengan pihak swasta.

Katanya, pembinaan balai bomba di atas tanah seluas 0.8 hektar itu juga akan menjadi mercu tanda baharu apabila ia bukan sahaja dilengkapi fasiliti moden, malah mempunyai kuarters bomba bertaraf kondominium.

“Kejayaan ini membuktikan swasta dan kerajaan ikhlas. Tanpa sumbangan Genting Malaysia saya rasa projek ini mungkin perlu masuk RMK-13 baru boleh hendak mula bina, tetapi sekarang sumbangan ini begitu bermakna sekali bagi membolehkan projek berjalan dengan segera.

“Saya berharap syarikat swasta lain khususnya yang disenaraikan (Bursa Saham) boleh mencontohi Genting Malaysia khususnya dalam pembangunan ‘New Town Ship’,” katanya pada majlis pecah tanah Balai Bomba dan Penyelamat Gohtong Jaya di sini hari ini.

Menurut beliau, pembinaan balai bomba itu amat signifikan kerana dapat memberikan perkhidmatan kepada 500,000 penduduk Genting Highlands dan kawasan berhampiran termasuk Janda Baik, Bukit Tinggi dan sempadan Batang Kali serta Selayang, Selangor.

Tambahnya, balai bomba yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 itu juga penting dalam memberikan perkhidmatan segera sekiranya terdapat kemalangan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak.

“Berdasarkan Kajian Risiko Perlindungan Kebakaran, markah ‘Fire Cover’ di kawasan ini sebanyak 20 menunjukkan ia mempunyai risiko dan memerlukan capaian perkhidmatan kebombaan,” katanya.

Beliau berkata, dalam memperkasakan perkhidmatan bomba, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM147 juta untuk membeli 150 unit ‘Compact Fire Fighting Rescue’.

Tambahnya, peralatan pemadam api yang boleh mengangkut 2,000 liter air itu amat signifikan dalam operasi pemadaman kebakaran kerana boleh memasuki kawasan dan lorong yang kecil atau sempit.

Sementara itu Kor Ming berkata, JBPM bakal menerima sumbangan 30 buah jentera bomba bernilai RM60 juta sempena Sambutan Jubli Emas hubungan diplomatik Malaysia-China tahun ini.

Jentera bomba moden yang dilengkapi dengan segala spesifikasi terkini yang diperlukan dijangka tiba pada tahun hadapan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI