fbpx

Gelaran juara sasaran Aaron-Wooi Yik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AARON dan Wooi Yik menerima insentif bernilai RM150,000 yang akan dikongsi antara mereka hasil pencapaian cemerlang pada Olimpik Paris.

SELEPAS berehat panjang sebaik menamatkan cabaran pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 Ogos lalu, beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tekad untuk kembali mendapatkan prestasi terbaik mereka.

Kejohanan Badminton Terbuka Arctic yang akan berlangsung di Vantaa, Finland bermula 8 hingga 13 Oktober ini bakal menjadi aksi pemanas badan terbaik buat pasangan No. 5 dunia itu.

Wooi Yik berkata, dia dan Aaron akan memberikan segala-galanya bagi memastikan gelaran juara menjadi milik mereka, sekali gus menjadi tonik terbaik bagi mendapatkan corak permainan sama seperti di Olimpik.

“Pertama sekali, saya baru sahaja kembali (daripada kecederaan) dan pergi ke kejohanan nanti memang nak menang bagi mendapatkan semula keyakinan serta corak permainan terbaik kami sebelum ini.

“Kita juga akan tengok bagaimana kondisi di Finland dan Denmark nanti. Saya dan Aaron akan berikan 100 peratus berdasarkan apa yang kami lakukan dalam sesi latihan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Insentif 100PLUS di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.

Terdahulu, bekas juara dunia itu terpaksa melupakan beberapa kejohanan sebelum ini selepas Wooi Yik mengalami kecederaan retak jari kaki ketika beraksi di separuh akhir Sukan Olimpik menentang jaguh China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik sekadar menamatkan kejohanan Terbuka Arctic tahun lalu di pusingan pertama selepas tewas 11-21, 18-21 kepada rakan sepasukan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Bagaimanapun, mereka melakukan kebangkitan apabila merangkul kejuaraan pada kejohanan berikutnya dengan memenangi Terbuka Denmark selepas menang 21-13, 21-17 ke atas beregu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana di perlawanan akhir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI