LONDON – Ferrari bakal melakukan naik taraf terakhir pada jentera mereka dalam usaha mencabar gelaran kejuaraan kategori pengeluar Formula Satu (F1) pada musim ini.
Ketua pasukan Ferrari, Fred Vasseur mengesahkan bahawa pasukan dari Itali itu akan melakukan pembaharuan kecil pada jentera mereka sebelum memberi tumpuan penuh kepada pembangunan jentera musim 2025.
Walaupun berdepan mencabar untuk merebut gelaran tersebut, Vasseur yakin dengan naik taraf terakhir itu dan pengurusan strategi yang teliti, Ferrari masih berpeluang untuk mengubah nasib mereka sehingga perlumbaan terakhir musim ini.
“Ini adalah naik taraf terakhir untuk kami musim ini. Kami sudah mula membangunkan kereta untuk tahun depan.
“Apa pun, kami tetapi akan mencuba memberikan yang terbaik seperti melakukan naik taraf kecil ini,” kata Vasseur.
Vasseur menegaskan bahawa mereka tidak berputus asa biarpun berdepan tentangan tiga penjuru bersama McLaren dan Red Bull untuk meraih kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 2008.
“Kami tidak akan berputus asa dan pasukan akan memberikan yang terbaik dalam baki enam pusingan musim ini,” tambahnya.
Ferrari ketika ini menduduki tempat ketiga dalam carta kejuaraan dan ketinggalan 75 mata di belakang McLaren yang menerajui carta dan 41 mata di belakang Red Bull. – AGENSI