JITRA – ‘Di sinilah suami dibuang hidup-hidup. Saya difahamkan suspek berhenti atas jambatan ini selepas suami beritahu nak buang air kecil, namun bertindak kejam dengan membuang suami ke sungai”
Demikian kata Subhiah Roslina Shahibi, 57, ketika pergi melihat sendiri lokasi dipercayai tempat suaminya, Sabari Baharom, 62, dicampakkan ke dalam Sungai Padang Terap oleh suspek pada awal pagi 4 September lalu.
Katanya, perbuatan suspek itu sangat kejam apabila sanggup menghumbankan orang yang masih hidup ke dalam sungai.
“Memang kejam sebab suspek sanggup bertindak sedemikian hanya kerana duit. Selepas buang suami di sini, saya difahamkan suspek bertindak membuang dan membakar kereta suami di Pulau Belantik, Sik dekat sini,” katanya ketika ditemui di Sungai Padang Terap di Wang Tepus, di sini hari ini.
Sementara itu, menurutnya, dia tidak menolak sekiranya ada pihak seperti orang kampung yang mahu membantu mencari jasad suaminya itu selepas operasi pencarian ditamatkan malam tadi.
“Saya dan keluarga sudah terima bahawa jasad suami tidak dapat ditemui, namun jika ada orang kampung yang mahu teruskan usaha mencari, kami tiada masalah,” ujarnya.
Tambahnya, dia akan pulang ke Kuala Lumpur hari ini dan akan berhubung dengan polis bagi mendapatkan perkembangan kes suaminya itu. – KOSMO! ONLINE