fbpx

‘Aoki dah tiada, rasa kehilangan yang paling dahsyat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nabila hilang kata-kata apabila kucing kesayangan bernama Aoki mati disebabkan komplikasi buang pinggang.

PETALING JAYA – “Aoki dah tiada.”

Demikian perkongsian pelakon Nabila Huda yang tidak dapat menahan tangis kehilangan kucing kesayangannya akibat sakit buah pinggang tahap empat, semalam.

Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, 40, berkata, dia tidak mampu bercakap sebaik dimaklumkan haiwan kesayangan yang dipelihara sejak 15 tahun lalu itu disahkan ‘pergi’.

“Maaf tak boleh nak cakap lagi. I love you sayang (Aoki),” katanya sambil menangis teresak-esak menerusi perkongsian video dalam Instagram.

Sebelum itu, Aoki berada dalam keadaan lemah akibat penyakitnya sudah genap seminggu dibawa pulang dari klinik dan dirawat Nabila bersama suaminya, Bert atau Mohd. Izwan Johar.

Namun semalam, tahap kesihatan kucing oren itu turun mendadak selain mulutnya mengeluarkan darah membuatkan mereka menghantarnya ke klinik.

Menerusi hantaran lain, anak kepada ikon rock Datuk Amy Search itu turut meluahkan kesyukuran dikurniakan Aoki dalam kehidupannya sekeluarga.

Sekali gus pemergian si comel itu merupakan kehilangan paling menyedihkan yang pernah dirasai sepanjang hayatnya.

“Rasa sakit kehilangan awak paling dahsyat. Tak pernah rasa sesedih ini dalam hidup. Air mata ini tak berhenti mengalir. Sayang saya pada awak tiada tandingan,” ujarnya.

Menerusi satu lagi hantaran, suami Nabila dilihat sedang menggali tanah untuk menanam haiwan berkenaan.

Terdahulu, pelakon filem Rahsia itu memaklumkan kucingnya disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik yang membuatkan kesihatannya semakin teruk.

Biarpun tiada harapan untuk sembuh, Nabila sekeluarga termasuk anaknya, Keisha Laila, 15, merawat dan menjaga Aoki yang hanya terlantar dengan sepenuh hati.

Haiwan kesayangan yang dianggap ‘abang’ kepada Keisha itu dikenali dalam kalangan pengikut media sosial pelakon terbabit kerana dia sering memuat naik video Aoki.

Pemergian kucing terbabit turut ditangisi ramai terutama mereka yang mengikuti keadaannya sejak keluar hospital tujuh hari lalu.

Malah rata-rata mengakui tidak berhenti menangis selain merasai kepedihan kehilangan yang tersayang.

“Sedihnya, boleh rasa kesedihan Abil. Sayang awak Aoki,” kata seorang peminat.

“Tak tahu nak gambarkan kepedihan ini. Saya kehilangan kucing saya ketika dia berumur 10 tahun. Harap mommy kuat,” tulis netizen.

“Saya turut sedih. Kerana Aoki satu Malaysia menangis,” ujar pengguna akaun media sosial lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI