PENGENDALI Selangor FC, Nidzam Jamil enggan terlalu memikirkan hal luar padang dan lebih selesa memberi perhatian kepada persiapan sendiri untuk memastikan kemenangan ke atas Cebu FC pada aksi kedua Kumpulan H Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam ini.
Di sebalik harapan yang diberikan oleh peminat tempatan untuk mereka mengikut jejak Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menang 3-0 ke atas Shanghai Shenhua di Liga Juara-Juara Elite, kelmarin, Nidzam enggan menganggap ia sebagai tekanan.
Rekod kemenangan bersih dalam semua sembilan perlawanan di gelanggang sendiri musim ini turut jadi azimat buat Gergasi Merah sekali gus mampu memberikan kegembiraan untuk bola sepak Malaysia.
“Jangkaan sememangnya tinggi sebab kita akan bermain di gelanggang sendiri, tetapi ceritanya pasti berbeza kerana ini bukan lagi Liga Super. Apa juga keputusan pasukan lain tidak beri kesan kepada kami.
“Kami lakukan dengan cara sendiri dan keputusan hanya akan diputuskan oleh kami sendiri. Sudah pasti kami mahu ikut keputusan yang baik, bukan saja yang diraih oleh JDT, tetapi juga Harimau Malaya.
“Pasukan lawan memang menang besar sebelum ini, tetapi kami juga ada momentum dalam saingan domestik. Jadi, sekarang kami akan cuba dapatkan keputusan baik,” katanya.
Sementara itu, kapten Selangor FC, Safuwan Baharudin tidak menganggap bermain di gelanggang sendiri beri kelebihan besar dan akan sentiasa waspada dengan ancaman Cebu FC.
“Kami sudah pun menonton beberapa klip video perlawanan babitkan mereka. Sudah pasti perlawanan ini akan jadi menarik sebab mereka adalah yang terbaik di Filipina.
“Motivasi kami agak bagus malah kami juga ada skuad yang agak baik jika jurulatih lakukan penggiliran,” katanya.