KEMENANGAN besar 6-0 ke atas Mendiola FC dalam saingan Liga Filipina menjadi ‘modal’ buat Cebu FC menghadirkan gerun buat Selangor FC yang bakal ditentang pada aksi kedua Liga Juara-Juara 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya malam ini.
Walaupun memulakan kempen ACL2 dengan kekalahan 0-6 kepada Jeonbuk Hyundai Motors FC, pengendali Cebu FC, Mustafa Ati Goksu percaya anak-anak buahnya sudah cukup matang untuk merealisasikan misi tiga mata.
“Sememangnya bukan tugas mudah buat kami, tetapi persiapan sudah dilakukan dengan baik. Persekitaran kali ini pasti lebih berbeza, namun fokus kami adalah untuk dapatkan kemenangan dan saya begitu yakin dengan pemain.
“Inilah bola sepak, adakalanya kami menang dan ada juga kalah. Walaupun kalah (kepada Jeonbuk Hyundai Motors FC), perkara terpenting adalah perlawanan seterusnya dan sekarang kami kena pamerkan kebangkitan untuk dapatkan sesuatu
“Semua orang sudah bersedia untuk berikan tentangan kepada Selangor FC. Kami sudah tidak ada alasan dan sebagai pemain profesional, kami kena pamerkan aksi terbaik,” katanya.
Sementara itu, pertahanan The Gentle Giants, Samuel Strong bertegas seluruh pasukan ini berada dalam motivasi terbaik untuk menghadirkan tiga mata sulung di pentas Asia.
“Persiapan sudah dibuat sehabis baik dan kami kini sedang bekerja keras. Kini tidak ada sebab lagi untuk kami terus kecewa dan misi pasukan sekarang adalah dapatkan kemenangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE