fbpx

[VIDEO] CEO MADACorp mohon maaf tidak sambut salam Mohamad Sabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video CEO MADACorp yang didakwa tidak menyambut salam Mohamad pda program Sentuhan Madani di Alor Setar, Isnin lalu.

ALOR SETAR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Perniagaan Peladang MADA Sdn. Bhd. (MADACorp), Abdullah Ismail memohon maaf kerana tidak menyambut salam Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Isnin lalu.

Menurut Abdullah, beliau bersalaman dengan Mohamad sebaik sahaja menteri itu keluar dari kereta untuk menghadiri program Sentuhan Madani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tajar, di sini.

“Kemudian saya iring menteri bersalaman dengan pegawai-pegawai lain. Ketika mengiringi menteri, beliau menghulurkan tangan sekali lagi untuk bersalam dengan saya.

“Oleh kerana saya telah bersalaman dengan beliau (sebelum itu) saya terkedu. Saya terkhilaf kerana tidak bersalaman sekali lagi dengan beliau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, beliau dengan rendah diri mengakui kesilapan itu.

“Saya ingin memohon maaf atas salah faham yang berlaku. Saya harap penjelasan dan permohonan maaf saya diterima oleh semua pihak,” ujarnya.

Terdahulu, tular video memaparkan Abdullah tidak bersalaman dengan Mohamad ketika lawatan kerja di Kedah Isnin lalu.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Firdaus Shater berkata, pihaknya kesal dengan penularan video tersebut dan insiden itu memperlihatkan satu tindakan yang tidak profesional.

“Ia juga tidak selari dengan etika profesionalisme yang mengutamakan sikap hormat menghormati, kerjasama dan komunikasi yang beradab, malah ia juga bertentangan dengan nilai-nilai Islam yang menuntut penghormatan dan adab terhadap pemimpin serta sesama insan,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya akan menyiasat insiden itu bagi mendapatkan cerita sebenar daripada beberapa pegawai di lokasi serta CEO MADACorp sendiri.

“Sebarang bentuk tindakan yang memperlekehkan atau tidak menghormati pemimpin, apatah lagi secara terbuka adalah perbuatan yang tidak sesuai dengan ajaran Islam yang menganjurkan sikap hormat dan adab.

“Islam menekankan peri pentingnya menjaga lisan, beradab dalam pergaulan dan memelihara hubungan baik sesama manusia, terutama sekali terhadap mereka yang diberi amanah untuk memimpin,” ujarnya.

Amanah negeri berpandangan bahawa sekiranya terdapat sebarang perbezaan ideologi politik seharusnya tidak menjadi penghalang untuk saling menghormati antara satu sama lain terutama dalam kalangan Melayu Islam.

“Kita berharap agar insiden sebegini tidak berulang lagi pada masa hadapan, selain menyeru seluruh rakyat untuk menghentikan serangan siber buli terhadap CEO MADACorp,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

@asmirulanuararisfc Hari ini saya bersama YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu, dalam lawatan rasmi ke Kedah bagi meninjau keadaan pesawah yang terjejas akibat banjir. Kami turun padang melihat sendiri bendang-bendang yang rosak, khususnya di kawasan yang paling terkesan, serta berada di PPK Tajar untuk menyampaikan bantuan secara terus kepada pesawah yang terlibat. Matlamat utama lawatan ini adalah memastikan segala bantuan seperti kewangan, peralatan, dan benih dapat disalurkan dengan segera supaya proses pemulihan dapat berjalan dengan lancar. Kami memahami kesukaran yang dihadapi oleh para pesawah, dan komitmen kerajaan adalah untuk memastikan mereka bangkit kembali selepas bencana ini. Asmirul Anuar Aris Pengerusi AMANAH Kedah #pejuangrahmah #MalaysiaMadani #KaramahInsaniah #amanah ♬ original sound – Malaysian Speaks

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI