fbpx

Usul undi tidak percaya boleh dihantar bila-bila masa – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOHARI ABDUL dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Akademi Menara Gading 2.0 YASA-Next Generation Accelator Programme (AMG Next-Gen) di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Mana-mana Ahli Parlimen termasuk pembangkang boleh menghantar notis rasmi berhubung usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bila-bila masa sahaja.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata, tiada tempoh tertentu untuk menghantar notis berkenaan namun adalah menjadi kuasa speaker untuk melihat sama ada usul itu wajar atau tidak.

Katanya, untuk memungkinkan usul tidak percaya itu terjadi, perlu menghantar notis usul tidak percaya itu terlebih dahulu kepadanya.

“Mesyuarat ketiga Parlimen untuk penggal ini akan bermula pada 14 Oktober ini dan berakhir sehingga 12 Disember. Saya tidak nampak lagi percubaan untuk menghantar usul undi tidak percaya itu sama ada melalui panggilan telefon, emel, atau pun daripada surat menyurat.

“Saya belum tengok lagi dan saya tidak mahu menganggap mereka akan hantar atau tidak hantar, kalau sekarang, tidak ada,”katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Akademi Menara Gading 2.0 YASA-Next Generation Accelator Programme (AMG Next-Gen) di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, sesuatu yang tidak adil buat rakyat sekiranya seorang Ahli Parlimen tidak bercakap tentang pembangunan negara sebaliknya hanya bercakap tentang diri, kumpulan dan parti semata-mata ketika di dalam sidang Parlimen.

Terdahulu, Anwar ketika berucap pada Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani di Stadium Axiata, Bukit Jalil, Jumaat lalu, mencabar pihak pembangkang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau pada Sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung bulan ini.

Cabaran tersebut dibuat oleh Anwar selepas beberapa perwakilan dan pimpinan Pas menuntut beliau meletakkan jawatan semasa Muktamar Tahunan ke-70 parti itu di Temerloh, bulan lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI